rap

Bukan kahwin di Thailand lah - Tajul Ariff

Oleh Norhayati Nordin

PENYANYI lagu Sedalam Dalam Rindu, Tajul Ariff, 21, menafikan dengan tegas perkahwinan rahsianya selama lebih dua tahun lalu dilangsungkan di negara jiran, Thailand.

Ia sebagai menjawab pertanyaan media jika wujud dakwaan perkahwinannya bersama isteri, Nurul Syamieza Eddie, 23, pada 10 Disember 2017 berlaku di luar negara.

"Saya tak pernah kata, perkahwinan kami dilangsungkan di luar negara. Kami bernikah di pejabat agama dalam majlis sederhana," katanya.

Umum mengetahui, kebanyakan perkahwinan rahsia segelintir artis di negara ini lambat dapat dihidu media kerana urusan perkahwinan dilakukan di negara jiran.

Mengulas perasaannya kini, Tajul berkata, dia berasa sangat lega selepas menjelaskan situasi sebenar berhubung status perkahwinan yang disembunyikan itu.

Katanya, penantian kelahiran cahaya mata sulung tidak lama lagi adalah masa terbaik dan tepat untuk membuat pengakuan.

"Selama ini, saya sanggup menyembunyikan status perkahwinan kami kerana menghormati permintaan isteri yang tidak mahu privasi kehidupan terganggu.

"Apatah lagi, kami membuat keputusan berkahwin awal pada usia sangat muda kerana melaksanakan hasrat Allahyarham bapa mentua yang diwasiatkan sebelum arwah meninggal dunia," katanya.

Mengulas penerimaan peminat terhadap perkahwinannya, Tajul atau nama sebenar Tajul Ariff Noor Md Shari berkata, ada peminat terima dan mendoakan yang terbaik untuk mereka.

"Namun, ramai juga yang sedih dan kecewa apabila mengetahuinya. Apapun, saya ingin ucapkan terima kasih kerana menyokong karier seni selama ini.

"Saya minta maaf pada semua peminat. Diharapkan teruslah menyokong karier seni saya walaupun kini sudah berkahwin," katanya.

Isu perkahwinan tersembunyi Tajul menjadi perhatian selepas tersebar foto dia bersama seorang wanita sarat hamil yang dipercayai dirakam bersama keluarga sekitar dua minggu lalu.

Tajul yang sebelum ini pernah menafikan dengan tegas dia belum berkahwin bagaimanapun membuat pengakuan terbuka dalam program Melodi di TV3.

Kemudiannya, Tajul yang juga rakan duet penyanyi Wany Hasrita tampil di konti radio Hot FM memberikan penjelasan sebenar status perkahwinannya.

Secara tidak langsung, perancangan Tajul untuk mengadakan majlis sidang media dalam waktu terdekat bagi membuat penjelasan dibatalkan.

Disiarkan pada: October 15, 2019 @ 4:22pm
d