rap

Nikah atas permintaan ibu

Oleh Syafil Syazwan Jefri

PERKAHWINAN yang diatur keluarga atau taaruf bukanlah asing dalam masyarakat Nusantara secara umum dan masyarakat kita secara amnya.

Terbaharu, filem Indonesia berjudul Wedding Agreement arahan Archie Hekagery mengangkat kisah perkahwinan yang diatur keluarga dan disesuaikan dengan realiti kehidupan hari ini.

Secara ringkasnya, Wedding Agreement mengisahkan gadis bernama Tari lakonan Indah Permatasari dan Bian (Refal Hady) yang dinikahkan atas permintaan keluarga.

Walaupun tidak rela, Bian akur atas permintaan ibunya yang juga menghidap kanser untuk dinikahkan dengan Tari. Pada masa sama, Bian juga sudah memiliki kekasih bernama Sarah.

Selepas bernikah, Bian menyerahkan surat perjanjian kepada Tari dan berjanji mereka hanya akan berkahwin selama setahun sebelum bercerai.

Namun, Tari tidak pernah menyerah kepada kehendak suaminya. Dia perlahan-lahan mengambil hati suaminya dan perlahan-lahan mengubah gaya hidup Bian kepada seorang suami soleh yang patuh pada agama.

Bintang utamanya, Refal Hady dalam satu temu bual bersama media Indonesia berkata, dia banyak belajar mengenai perkahwinan yang diatur keluarga ini.

“Ini ilmu baharu buat saya kerana ketika menerima skrip untuk filem ini, saya dapati watak Bian adalah lelaki yang bernikah secara taaruf sedangkan saya sendiri pun belum bernikah.

“Jadi, saya sekali saya tidak ada sebarang idea bagaimana proses perkembangan watak ini pada awalnya,” katanya.

Namun, satu kelebihan yang dikongsikan Refal adalah apabila abangnya pernah berkahwin secara taaruf.

“Banyak juga yang dikongsikan oleh abang saya contohnya, apa itu taaruf dan cara kedua-dua mereka menghadapinya.

“Abang saya bernikah dengan sepupu. Jadi, keserasian antara dia dan isterinya mungkin tidak terlalu sukar,” katanya.

Sumber lain yang menjadi tempat dia menimba idea adalah daripada rakannya.

“Ada juga rakan saya yang berkahwin tanpa melalui proses percintaan. Jadi, saya banyak melihat dan mengkaji proses kehidupan mereka,” katanya.

Di Indonesia, filem yang ditayangkan pada awal Ogos lalu ini mendapat reaksi positif daripada penonton dan pengkritik filem.

Di Malaysia, Wedding Agreement akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 31 Oktober ini.

Selain Refal dan Indah, filem romantik ini juga dibintangi barisan pelakon hebat lain antaranya Aghniny Haque, Jeff Smith, Ria Ricis, Bucek, Unique Priscilla, Mathias Muchus dan Ria Irawan.

Disiarkan pada: October 17, 2019 @ 5:10am
d