rap

KRU, KUIS jalin kerjasama bidang media kreatif

Oleh Sudirman Mohd Tahir

YAYASAN KRU buat kali pertama menjalin kerjasama dengan institut pengajian tinggi (IPT) berteraskan Islam iaitu Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) menerusi program Contentpreneur 2020.

Presidennya, Datuk Norman Abdul Halim berkata, kerjasama itu diharap dapat meningkat dan melahirkan lebih ramai pekerja kreatif khususnya dalam penerbitan kandungan Islamik.

“Ini kerjasama yang begitu simbolik buat kami sebab kali pertama mengadakan memorandum persefahaman (MoU) dengan IPT berteraskan Islam. Saya berasakan penerbitan sebegini bermusim khususnya lagu nasyid dan kandungan berteraskan Islam.

“Kandungan sebegini ada pasaran sendiri. Jadi, kami akan mewujudkan lebih banyak inisiatif pada tahun depan antaranya acara bertaraf antarabangsa selain platform baru yang akan dilancarkan. Kiranya, ini satu kerjasama strategik.

“Menerusi program Contentpreneur 2020, kami mencari usahawan muda daripada kalangan graduan universiti. Kami berharap dengan kerjasama dengan KUIS dapat mencari bakat yang boleh mengekalkan kandungan berteraskan Islam,” katanya.

Terdahulu, Norman ditemui pada majlis menandatangani MoU antara KUIS dan Yayasan KRU di kolej universiti itu di Bangi, hari ini.

Sementara itu, Rektor KUIS, Profesor Datuk Dr Ab Halim Tamuri berkata, kerjasama itu diharap dapat mengembangkan lagi industri kreatif berteraskan Islam.

“Kerjasama bersama Yayasan KRU untuk membuat program yang akan dikembangkan bersama pelajar dan alumni KUIS serta siapa saja yang berminat dalam bidang kreatif.

“Ia bermula daripada pelbagai bentuk seperti muzik, animasi dan banyak lagi supaya pelajar KUIS dapat berkembang dari sudut industri. Bila buat kerjasama atau MoU ini, kita akan kembangkan dan dipanggil media kreatif serta pelbagai lagi kehidupan dalam industri.

“KRU akan memberi latihan di Akademi KRU dalam konteks kita memberi latihan dan skil yang diharap pelajar dapat ambil peluang. Kita akan bekalkan kandungan dan KRU skil. Jadi gabungan keduanya akan membuatkan kita lebih hebat pada masa depan,” katanya.

MoU yang ditandatangani selama lima tahun itu sekali gus dapat membantu dalam penghasilan teknologi dan inovasi bermutu bagi merancakkan industri dan ekonomi Islam di Malaysia.

Disiarkan pada: October 17, 2019 @ 3:44pm
d