rap

Vlogger dicabar pikat lelaki

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

SEBUAH kisah yang santai dengan hanya membariskan 10 pelakon. Namun, garapan menarik dan lakonan selamba ditunjukkan mereka yang terbabit berjaya menyuntik elemen hiburan buat penonton.

Inilah yang diperlihatkan menerusi filem genre komedi romantik berjudul 7 Hari Kisah Cinta Langkawi arahan Anwardi Jamil.

Lari daripada filem genre ganas, seram dan aksi yang membanjiri pasaran, putera kepada pengarah terkenal, Allahyarham Datuk Jamil Sulong dan seniwati Datuk Rosnani Jamil itu memilih cerita ringan yang sesuai untuk tontonan remaja.

Tidak ketinggalan, Anwardi turut memanfaatkan panorama indah Langkawi menerusi sinematografi yang ditampilkan.

“Penggambaran filem ini hanya ambil masa lapan hari. Tujuh hari di Langkawi dan sehari di Kuala Lumpur.

“Kami tak terlalu tergesa-gesa melakukan penggambaran. Saya berterima kasih kepada semua pihak di Langkawi yang bekerjasama merealisasikan filem ini,” katanya.

Filem 7 Hari Kisah Cinta Langkawi dibintangi Mark Adam, Josiah Hogan, Peter Davis, Sharifah Shahira, Amai Kamarudin, Shaharudin Thamby, Chi Azim, Tengku Norsaili dan Tengku Rhea.

Anwardi mengakui, dia berbangga dengan hasil kerja barisan pelakonnya.

“Kami bekerja 12 jam sehari bagi menyiapkan karya ini. Saya mahu buktikan walaupun sudah berusia, masih boleh buat filem komedi romantik.

“Saya pun baru saja siapkan sebuah lagi filem, Showtime 1958. Harapnya saya masih ada tenaga untuk terus kekal dalam industri sekiranya diberi peluang dan mendapat sokongan penonton,” katanya.

Josiah mengakui pertemuan dengan Anwardi di sebuah restoran makanan segera membuka peluang buatnya untuk terbabit dalam filem itu.

“Dia menawarkan berlakon dan saya terima kerana masuk dalam bidang ini pun menerusi drama arahannya untuk RTM.

“Saya ikut apa yang diarahkan dan dikehendaki skrip. Apabila filem siap, kami ada buat ‘soft premier’. Pada masa itu saya masih baharu dan rasa filem ini okey.

“Sudah lama tak dengar cerita berkenaan filem ini. Ketika berbual dengan kawan barulah saya faham apa yang Abang Anwardi nak sampaikan iaitu berkenaan blogger dan Internet serta mesej di dalamnya,” katanya.

Sambung Josiah, ketika penggambaran dia tidak mengenali pelakon filem terbabit kecuali Peter.

“Saya hanya kenal Peter kerana pernah berlakon dengannya. Bagaimanapun, tak susah dapatkan keserasian kerana semua pelakon filem ini sangat komited dan tidak lokek ilmu.

“Apabila filem ini keluar, saya nampak kenapa Abang Anwardi mahu menghasilkannya. Jarang ada filem Malaysia yang ada orang Mexico, United Kingdom, Filipina dan orang tempatan,” katanya.

Chi Azim pula mengakui ini pengalaman pertamanya beraksi di layar lebar kerana sebelum ini hanya aktif di pentas teater.

“Ketika dipanggil untuk menjayakan watak ini, saya termenung seketika selepas mengetahui ia bergenre komedi romantik. Di pentas teater saya tak pernah berlakon kisah cinta.

“Saya sahut cabaran ini dan berusaha buat yang terbaik. Harap penonton terhibur apabila menyaksikan filem ini nanti.

“Terima kasih buat Abang Anwardi kerana memilih dan mempercayai bakat saya walaupun tidak pernah tengok saya berlakon,” katanya.

Sama seperti Chi Azim, filem 7 Hari Kisah Cinta Langkawi adalah filem pertama Mark. Oleh itu, ia sangat istimewa di hatinya apatah lagi dapat mempelajari teknik menjiwai watak, pergerakan dan sudut kamera.

“Sebagai orang baharu, saya kena banyak belajar dan sangat bersyukur kerana rakan pelakon serta kru banyak membantu. Antara rujukan saya sudah tentulah Peter,” katanya.

Anwardi yang turut bertindak selaku penerbit mengakui cabaran terbesar dalam menyiapkan filem yang akan menemui penoton pada 31 Oktober ini adalah modal.

“Saya amat berterima kasih kepada beberapa rakan penerbit yang sanggup membantu perjalanan filem ini. Kami tiada geran daripada kerajaan dan buat filem ini secara sukarela.

“Ini filem kecil dan suntikan modalnya semua daripada kawan iaitu Yoki Chin, Datuk Tiar Mohd Shariff dan saya sendiri.

“Semua keluarkan modal secara berperingkat. Apabila filem siap, kami lupa berkenaan promosi dan ia memerlukan modal,” katanya.

Kata Anwardi, mereka menunggu geran daripada kerajaan namun tiada khabar berita.

“Baru-baru ini, kami duduk sama-sama dan akhirnya memutuskan untuk dipertontonkan kepada umum.

“Namun, sebelum itu kami tengok dulu sama ada ia masih relevan kerana dihasilkan dua tahun lalu.

“Melalui pemerhatian, saya dapati Mark Adam masih popular dan baru tampil dengan filem Hero. Josiah pun sama kerana keluar dengan beberapa filem.

“Peter pula mempunyai pengikut yang ramai. Begitu juga Chi yang hebat di pentas teater dan sudah ada nama. Semua ini menjadi pendorong kami,” katanya.

SINOPSIS

Mengisahkan seorang vlogger popular bernama Adira lakonan Chi Azim yang menggunakan nama vlog Diva Asmara kerap memuat naik kata-kata nasihat dan motivasi kepada pengikutnya berkenaan permasalahan cinta remaja serta cara mengatasinya.

Apabila dia menerbitkan buku bertajuk Cara Memikat Hati Lelaki Dalam 7 Hari, seorang lagi vlogger di Langkawi bernama Joe (Josiah Hogan) mencabarnya untuk membuktikan keberkesanan sistem yang disarankan dalam buku itu.

Adira enggan melayan cabaran terbabit, tetapi pembantu peribadinya, Eli (Tengku Norsaili) mendesaknya menyahut cabaran yang sudah viral di media sosial.

Cabaran yang dilontarkan kepada Adira bukanlah untuk Joe jatuh cinta dengannya dalam tempoh tujuh hari, tetapi untuk Adira menawan kawan Joe bernama Ben (Peter Davis) yang berasal dari UK.

Situasi menjadi lebih rumit dengan kehadiran kawan Joe iaitu Nik (Mark Adam) yang sering mengganggu pelan Joe untuk merosakkan reputasi Adira dengan cara yang tidak disengajakan.

Pada masa sama, bapa Adira, Datuk Rahim (Shahruddin Thamby) sudah memaksa anak rakan niaganya, Zul (Amai Kamarudin) segera ke Langkawi untuk memikat hati Adira kerana mahu jejaka itu menjadi menantunya.

Siapakah yang akan berjaya memiliki cinta Adira? Adakah Joe, Nik, Zul atau Ben?

Disiarkan pada: October 18, 2019 @ 5:15am
d