rap

Mira jadikan hadiah sebagai kereta keluarga

Oleh Ardini Sophia Sina

BINTANG Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-32, Mira Filzah, hari ini menerima kereta Nissan X-Trail 2.0L Hibrid bernilai RM159,888 sumbangan Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM).

Kenderaan itu adalah ganjaran memenangi kategori utama pada malam kemuncak ABPBH 32 yang lalu.

Mira ketika ditemui berkata, kereta itu tidak akan dijual kerana hadiah berkenaan adalah hasil usaha dan sokongan peminat yang tidak pernah jemu mengundinya.

"Insya-Allah, saya tidak akan jual kereta kemenangan kerana ia ada nilai sentimental. Hadiah kemenangan ini pun saya dapat hasil undian peminat. Ini adalah titik peluh mereka yang mengundi saya.

"Saya sudah ada kenderaan sendiri sebab itulah jadikan hadiah ini sebagai kereta keluarga. Sesiapa pun boleh guna. Tambahan pula bonet luas dan boleh letak banyak barang," katanya.

Mira atau nama sebenarnya, Nur Amirah Filzah Badioezaman, 26, menerima hadiah itu daripada Timbalan Pengurus Kanan, Komunikasi, Pemasaran ETCM, Phang Rick Kee disaksikan Pengarang Eksekutif Komersial Ehwal Semasa BH merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola ABPBH 32, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.

Turut hadir, Pengarang Hiburan BH merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengelola ABPBH 32, Shamshul Azree Samshir dan Ketua Pematuhan Sasaran Jualan, Wilayah Tengah ETCM, Yeoh Hee Huat.

Penyerahan itu dilaksanakan di Bilik Pameran ETCM, di Glenmarie, Shah Alam.

Mira dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular BH dengan 6,320,463 undian.

Dia turut merangkul trofi Pelakon TV Wanita Popular Alha Alfa dan Pelakon Filem Wanita Popular serta kategori atas talian iaitu Gandingan Serasi Drama Popular menerusi Pujaan Hati Kanda.

Bertemakan ‘Melangkaui Sempadan’, malam kemuncak ABPBH 32 yang disiarkan secara langsung oleh TV3 pada 22 September lalu dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) turut merekodkan 5.8 juta penonton.

Disiarkan pada: October 18, 2019 @ 6:28pm
d