rap

Sembilan negara sertai Tari 19 Aswara

Oleh Najiy Jefri

SEBANYAK 14 tarian dari sembilan negara akan dipersembahkan pada malam kemuncak Festival Tari Antarabangsa 2019 ASWARA edisi ke-10 (Tari 19 ASWARA) bersempena sambutan 25 tahun Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (ASWARA) dan kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), malam ini.

Bertemakan ‘Renewal Dance in the 21st Century’, Tari 19 ASWARA yang bakal berlangsung di Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur, mengangkat situasi masa kini yang sejajar dengan objektif penganjuran festival terbabit.

Dekan Fakulti Tari ASWARA, Norsafini Jaafar berkata, tema itu dipilih bersesuaian dengan perkembangan teknologi serta kehidupan yang kini berhadapan dengan pelbagai konflik.

“Pihak kami amat teruja apabila festival ini diteruskan semula untuk edisi yang ke-10 dengan pembabitan sembilan universiti dari seluruh Asia bagi menterjemahkan tarian bertemakan Renewal Dance in the 21st Century.

“Universiti yang akan terbabit dalam Tari 19 ASWARA ialah Guangxi Arts University dari China, Universitas Surabaya (Indonesia), Sapphire Creation Dance Company (India), Natanda Dance Theatre (Sri Lanka), Nanyang Academy of Fine Arts (Singapura), University of the Philippines (Filipina) dan Taipei National University of the Arts (Taiwan).

“Selain itu, Chulalongkorn University (Thailand), Cambodian Living Arts (Kemboja), The Hong Kong Academy for Performing Arts (Hong Kong) dan Korea National University of the Arts (Korea Selatan) juga menyertai festival ini,” katanya.

Menurut Norsafini, kesemua insititusi yang mengambil bahagian diberi kelonggaran untuk menterjemahkan seni persembahan mengikut budaya dan negara yang diwakili.

“Sembilan universiti ini antara institusi pengajian tinggi terbaik dalam subjek pengkhususan tarian. Semestinya kami memilih yang terbaik untuk dipersembahkan dalam Tari 19 ASWARA.

“ASWARA tidak sabar menantikan penganjuran Tari 19 ASWARA kerana kali terakhir ia diadakan pada 2014 dengan tema ‘building bridges’. Ketika itu, kami menerima maklum balas yang baik daripada semua pihak,” katanya.

Disiarkan pada: October 19, 2019 @ 7:24pm
d