rap

Perotta tulis sendiri skrip Mrs Fletcher

Oleh Rudy Imran Shamsudin

PENCINTA karya Inggeris tentu mengenali novelis Tom Perotta. Antara karya popularnya ialah Election dan Little Children yang mendapat sambutan luar biasa apabila diangkat ke layar lebar.

Satu perkara yang diketahui pengikut Perotta, dia gemar mengetengahkan isu feminisme dalam keseluruhan karyanya.

Selepas dua novelnya berjaya diadaptasikan ke filem, pada 2011 buat kali pertama hasil penulisannya divisualkan secara drama bersiri.

The Leftovers ditayangkan pada 2011 dan lebih menarik, Perotta bertindak selaku penerbit.

Ternyata percubaannya itu berjaya apabila The Leftovers mencatat jumlah tontonan tinggi sepanjang tayangan.

Kejayaan itu membuka jalan untuk Perotta menjalin kerjasama dengan HBO apabila bergabung lagi mengangkat novel Mrs Fletcher sebagai siri mini yang dijadualkan bersiaran mulai 28 Oktober ini, jam 10.30 malam.

Dalam temu bual diatur pihak HBO bersama Perotta, novelis dan penerbit itu berkata, kali ini dia tidak berhadapan masalah untuk meyakinkan HBO bagi menampilkan Mrs Fletcher dalam bentuk drama bersiri berikutan kejayaan The Leftovers.

Bagaimanapun, Perotta mengakui drama yang dibintangi Kathryn Hahn dan Jackson White itu ada cabarannya, apatah lagi dia perlu menulis skripnya.

“Sudah tentu dalam menghasilkan Mrs Fletcher cabarannya berbeza terutama daripada perspektif kehidupan Mrs Fletcher itu sendiri.

“Namun, corak penceritaan Mrs Fletcher lebih mudah untuk dibangunkan berbanding Leftovers yang memakan masa untuk diadaptasikan.

“Bagi saya, cabaran yang perlu diharungi bagi mengangkat karya ini dari novel ke drama bersiri adalah latar masa dan juga budaya.

“Walaupun novel ini dipasarkan pada 2017, budaya dan gaya hidup berubah dengan pantas. Justeru, saya harus memastikan perjalanan ceritanya tidak ketinggalan dengan kehidupan dunia semasa,” katanya.

Tambah Perotta, dalam drama itu watak utama Mrs Fletcher buat kali pertama hidup dalam kesepian selepas bercerai dan anak bujangnya melanjutkan pendidikan ke kolej.

“Cerita ini mengisahkan kehidupan manusia yang keseorangan dan tidak mempunyai sokongan orang sekeliling,” katanya.

Menyentuh mengenai pemilihan Kathryn sebagai Mrs Fletcher, Perotta menjelaskan, pelakon yang menerima pencalonan untuk anugerah Emmy menerusi Transparent itu mempunyai tarikan di layar TV dan membuatkan matanya tidak beralih setiap kali melihat persembahan diberi di lokasi penggambaran.

“Kathryn pelakon yang penuh dengan ekspresi, tidak seperti kebanyakan pelakon yang hanya memberikan persembahan ‘cukup-cukup makan’ apabila berada di hadapan kamera.

“Kathryn berbeza. Kita bukan saja boleh merasai penjiwaannya terhadap watak yang dibawa menerusi riak wajah, malah gerak-geri tubuh,” katanya.

Menyentuh mengenai keserasian antara Kathryn dan Jackson, kata Perotta, watak Fletcher dan anaknya hanya berlaku pada awal dan akhir perjalanan cerita.

“Walaupun tidak banyak babak bersama, pada awal pertemuan di lokasi, mereka memberikan lakonan yang sangat baik,” katanya.

Drama Mrs Fletcher mengisahkan kehidupan Eve Fletcher yang menjanda dan berdepan krisis pertengahan usia. Hari-hari yang dilaluinya kian sunyi apabila anak tunggalnya ke kolej.

Eve Fletcher bagaimanapun enggan terus tenggelam dalam situasi menyedihkan itu dan berazam mengubah hidupnya dengan menikmati apa sahaja perkara yang tidak pernah dilakukannya sebelum ini.

Disiarkan pada: October 20, 2019 @ 5:45am
d