rap

Mahu dekat dengan penonton

Oleh Rudy Imran Shamsudin

PELAKON lama dan berpengalaman tidak seharusnya meletakkan diri mereka terlalu tinggi serta perlu mengimbangi kerjaya dengan menyertai program realiti anjuran stesen televisyen agar terus relevan.

Itu antara sebab mengapa Datuk Mohamed Noor Shamsuddin atau Rosyam Nor menyertai program realiti All Star Buka Panggung terbitan Astro Warna.

Sewaktu namanya diumumkan sebagai peserta program itu, Rosyam mengakui ramai mempersoalkan mengapa pelakon berpengalaman sepertinya menerima lamaran itu.

Ada juga mengatakan dia tidak sesuai menyertai program sedemikian kerana akan merendahkan kredibilitinya sebagai pelakon hebat dan penerbit drama serta filem.

Situasi akan menjadi lebih buruk sekiranya pelakon yang pernah memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik dan dua kali memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia itu tewas serta tidak dapat ke final All Star Buka Panggung yang berlangsung Jumaat lalu.

Rezeki tidak menyebelahi Rosyam apabila peserta layak mara ke peringkat akhir dipilih menerusi undian peminat tetapi aktor yang mula popular menerusi filem Lenjan itu tenang menerima keputusan berkenaan.

Bukan itu saja, Rosyam turut menenangkan orang keliling yang meluahkan rasa tidak puas hati apabila dia gagal menempatkan diri ke peringkat akhir program realiti lawak terbaharu itu.

Kata Rosyam, sejak menyertai program realiti itu dia tidak pernah melihat kemenangan sebagai pendorong utama, apatah lagi selepas dia dimaklumkan mengenai program yang dihasilkan stesen berbayar itu.

“Saya melihat ia dari sudut lebih jauh. Sebagai orang lama pembabitan hanya ada di drama TV mahupun filem tetapi seperti yang umum ketahui dunia tontonan sudah berkembang dengan adanya teknologi Internet dan media sosial.

“Orang muda sekarang lebih suka menonton di gajet berbanding TV, jadi saya berasakan adalah penting sebagai penggiat seni menyertai dunia baharu ini agar tidak ketinggalan,” katanya.

Salah satu cara untuk menyertai dunia atau cara tontonan baharu ini agar seseorang penggiat itu dekat dengan penonton muda sekali gus membantu mengumpul peminat baharu adalah dengan menyertai program seperti All Star Buka Panggung.

Kata Rosyam, program itu selain menggabungkan pelawak dan pelakon, ia turut ditayangkan di beberapa saluran digital dan memudahkan penonton serta peminat menyaksikan aksinya.

Dalam waktu sama katanya, dia menyertai program realiti dengan harapan ia dapat mengubat kerinduan peminat memandangkan sudah lama tidak tampil di kaca TV.

“Kalah menang adat bertanding. Dari awal lagi saya tahu saya tidak akan menang dalam program All Star Buka Panggung.

“Sewaktu bertanding sebelum tersingkir pun saya tidak ada peminat yang datang menyokong berbanding artis lain.

“Namun, satu perkara yang saya percaya, peminat artis lain juga dapat melihat persembahan saya dan ini akan membuatkan mereka ingat bahawa saya masih aktif berlakon dan menjayakan program TV.

“Begitu juga penonton di rumah yang menyaksikan persembahan saya sebelum ini.

“Saya mengharapkan ia dapat membuatkan peminat baharu dan muda berminat untuk lebih mengenali saya,” katanya.

Disiarkan pada: October 20, 2019 @ 6:00am
d