rap

Lagu Eh, Zizi sindir netizen

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PENYANYI popular Zizi Kirana mengakui single Eh yang baru dilancarkan kelmarin ditujukan kepada warganet bagi menyindir sikap keterlaluan mereka di laman sosial.

Zizi, 34, atau nama sebenarnya Nur Fazelah Mad Tahil berkata, lirik yang terdapat dalam lagu itu menggambarkan sikap sebenar golongan itu selain mewakili artis yang sering menjadi mangsa buli siber.

Menurut Zizi, antara lirik lagu yang menarik perhatian ialah ‘hati hitam boleh tutup dengan jubah dan kecam orang lain sendiri tak nak ubah’.

“Memang betul lagu ini ditujukan kepada netizen yang sering mengecam saya dan artis lain. Seolah-olah mereka sempurna dan betul setiap masa.

“Kalau mereka dengar lagu ini, mereka akan terasa. Siapa makan cili dia terasa pedas. Apatah lagi, ketika menulis lagu dan lirik, saya membayangkan setiap perangai netizen di laman sosial.

“Pendek kata, lirik lagu ini tak tapis. Tak perlu nak sindir dengan ayat yang berbunga-bunga. Lagu ini luahan hati saya sekali gus mewakili rakan artis lain,” katanya kepada Harian Metro.

Zizi berkata, jika netizen boleh bersikap keterlaluan di laman sosial tanpa memikirkan perasaannya sebagai artis yang dikecam, lagu itu selayaknya untuk mereka.

“Tak kisah jika mereka nak cakap apa selepas dengar lagu ini. Sebelum ini kenapa tak fikir perasaan kami sebagai artis? Mereka kecam saya dengan pelbagai hinaan dan caci maki.

“Kira cukup baik saya hadiahkan lagu ini buat mereka. Sambil dengar, mereka boleh kaitkan dengan diri,” katanya.

Lagu ciptaan Navigator dan Zizi Kirana serta lirik oleh Mambang dan Zizi itu sudah menjalani penggambaran muzik video baru-baru ini.

Disiarkan pada: October 20, 2019 @ 5:37pm
d