rap

Tuju K-Clique tak takut dengan peminat fanatik

Oleh Najiy Jefri

ANGGOTA kumpulan K-Clique, Tuju menegaskan dirinya tidak takut dengan peminat fanatik walaupun pernah berdepan dengan beberapa insiden pelik.

Tuju berkata, dia menghargai setiap peminat yang menyokong dan tidak pernah marah dengan tindakan mereka yang obses.

“Kami hanya takut Allah, bukan dengan orang lain atau peminat fanatik. Malah, kami menghargai mereka yang selama ini menyokong kerjaya seni kami.

“Sebelum ini, kami pernah berdepan kejadian seperti van diserbu peminat, khemah di tempat persembahan roboh dan sebagainya.

“Kami gembira dan bersyukur kerana adanya peminat yang sentiasa menyokong dan mengikuti setiap persembahan kami.

“Istilah penat dan rimas dengan peminat tidak wujud dalam kamus hidup kami,” katanya ketika ditemui pada sidang media Konsert Hausboom Music di Saro Lounge, Pavilion Elite, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Terdahulu, salah seorang anggota K-Clique, MK dicium seorang peminat wanita fanatik ketika mengadakan persembahan di Singapura.

Tidak selesa dengan situasi itu, MK kelihatan terkejut dan berusaha mengelak peminat terbabit. Rakaman video kejadian itu tular dan mendapat pelbagai reaksi di laman sosial.

Ditanya mengenai insiden yang menimpa MK, Tuju berkata, ia diluar jangkaan dan berlaku secara tidak sengaja.

“Apabila ia tular, bukan kami yang minta. MK kena peluk dan cium pun bukan kami yang mahu. Itu semua tindakan peminat yang obses.

“Kami okay sahaja. Tindakan peminat itu tidak ganas pun, dia juga sudah memohon maaf. Namun, dengan tokok tambah komen netizen di laman sosial, perkara itu jadi besar dan semakin panas,” katanya.

Disiarkan pada: October 21, 2019 @ 7:04pm
d