rap

Judika memang mantap!

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

JUDIKA memang padu! Itu pujian buat artis terkemuka Indonesia, Judika, 41, yang memberikan persembahan bertenaga menerusi Judika Live Bersama Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Kuala Lumpur, malam kelmarin.

Pada persembahan dua hari sejak Sabtu lalu, nama Judika diletakkan dalam senarai artis antarabangsa yang pernah mengadakan persembahan di dewan berprestij itu.

Dua tahun tidak menemui peminatnya di negara ini, Judika atau nama sebenarnya Judika Nalon Abadi Sihotang kembali menghiburkan 1,800 penonton menerusi 15 lagu yang disampaikannya.

Naib juara Indonesia Idol 2005 itu melakar sejarah tersendiri apabila menjadi artis lelaki Indonesia pertama yang mengadakan konsert solo di DFP.

Dalam persembahan anjuran DFP dan Kelab Sukan dan Rekreasi Petronas (KSRP), Judika menghiburkan peminat termasuk dari Singapura dan Brunei menerusi lagu pertamanya, Apakah Ini Cinta.

Bermodalkan vokal tinggi dan suara serak basah, penyanyi berkelas tinggi itu mendapat tepukan gemuruh apabila menyampaikan lagu daripada album keduanya iaitu Bukan Dia Tapi Aku.

Judika tidak pernah mengecewakan apabila membuai emosi penonton dengan lagu Setengah Mati Merindu, Cinta Karena Cinta dan You Are the Reason.

Bekas vokalis Mahadewa itu tidak keseorangan apabila mengundang penyanyi tempatan bersuara lantang, Jaclyn Victor yang menyampaikan lagu popularnya, Gemilang.

Seterusnya, mereka menghiburkan penonton menerusi duet pertama, Shallow nyanyian asal Lady Gaga dan Bradley Cooper.

Beraksi di pentas, Judika dan Jaclyn mencuit hati penonton apabila bergurau dan sesekali berkongsi kehidupan mereka.

Sebaik konsert itu bersambung semula 30 minit kemudian, penonton disajikan dengan persembahan muzik instrumental oleh orkestra pimpinan Ahmad Muriz Che Rose.

Judika membuktikan kemampuannya apabila melontarkan vokal cukup tinggi menerusi lagu Sampai Kau Jadi Milikku. Kelebihan yang dimilikinya itu nyata buat penonton terpegun dan terpesona.

Konsert solo yang turut dihadiri ramai artis tempatan seperti Misha Omar dan Lisa Surihani dimeriahkan lagi apabila penyanyi itu membawa isteri, Duma Risis, anak mereka, Cleo serta Judeo ke atas pentas.

Judika berkongsi kisah cintanya yang dihalang keluarga mentua, namun akhirnya disatukan semula. Pada masa sama, penyanyi itu menzahirkan kegembiraan apabila usia Cleo genap lima tahun.

Berdepan pengalaman cinta terhalang, Artis Lelaki Terbaik Anugerah Planet Muzik 2015 itu menyampaikan lagu Papa Mama Larang sebelum berduet semula dengan Jaclyn melalui lagu Kisah Ku Inginkan.

Lagu pertama yang membawa Judika bertapak dalam industri hiburan, Bukan Rayuan Gombal turut dipersembahkan sebelum dia menyampaikan single keduanya, Malaikat.

Saat yang ditunggu-tunggu peminat akhirnya tiba apabila penyanyi itu mempersembahkan lagu keramatnya, Aku Yang Tersakiti dan karya terakhir, Jikalau Kau Cinta.

Persembahan itu tidak terhenti setakat itu apabila Judika menghadiahkan lagu tambahan buat penonton iaitu Kaulah Segalanya nyanyian Ruth Sahanaya dan Suci Dalam Debu (Iklim).

Judika berkata, dia berbesar hati dengan undangan DFP apatah lagi dapat menjayakan konsert solo pertama dengan iringan orkestra.

“Saya teruja dengan penghormatan ini dan berterima kasih kepada peminat di Malaysia yang setia menyokong sejak dulu,” katanya.

Selain Judika, artis antarabangsa yang pernah mengadakan konsert di dewan itu terdiri daripada Ruth Sahanaya, Laura Fygi, Harry Connick Jr dan Chris Botti.

Selain itu, Diana Krall, Anoushka Shankar dan Larry Carlton. Sementara itu, artis tempatan yang pernah mengadakan konsert eksklusif di DFP ialah Sheila Majid, Ella, Datuk Siti Nurhaliza, Yuna, Misha Omar dan Dayang Norfaizah.

Disiarkan pada: October 22, 2019 @ 5:30am
d