rap

Sham Visa terima 1,000 mesej setiap hari

Oleh Rudy Imran Shamsudin

BEKAS penyanyi utama kumpulan Visa, Rohisham Hashim atau Sham menafikan ada menerima pesanan berbaur lucah atau gambar keterlaluan daripada peminat.

Bagaimanapun, dia mengakui menerima lebih 1,000 mesej di Instagram setiap hari dan sebahagian besarnya wanita yang sudah berkahwin.

Nama Sham kembali hangat diperkatakan apabila dia menyertai program realiti Gegar Vaganza dan imej ditampilkan disamakan dengan watak filem keluaran Marvel terkenal Iron Man, Tony Stark lakonan Robert Downey Jr.

Ramai memuji penampilan penyanyi yang pernah popular dengan lagu Dalam Gerimis yang masih segak walaupun usia sudah mencecah 47 tahun.

Sham ketika ditemui menzahirkan rasa terharu dan berterima kasih kepada peminat kerana masih menerimanya meski hampir 15 tahun menyepikan diri.

Menurut Sham, sebelum ini dia tiada akaun media sosial dan sebaik sahaja ada Instagram, jumlah pengikut melonjak lebih 35,000 dalam tempoh dua minggu.

“Alhamdulillah, setakat ini saya tidak pernah menerima apa-apa mesej atau gambar berbaur lucah. Kebanyakan mesej yang dihantar peminat adalah untuk mengucapkan tahniah dan memberikan kata-kata sokongan apabila saya kembali aktif,” katanya.

Tambah Sham lagi, dia mahu berterima kasih kerana sebahagian besar peminat meminatinya kerana bakat yang dimiliki dan menghormati statusnya sebagai suami orang.

“Kebanyakan peminat saya sudah dewasa dan boleh berfikir. Mereka menjaga batas dan saya sangat berterima kasih,” katanya.

Disiarkan pada: October 22, 2019 @ 4:24pm
d