rap

Dari kayangan Nazim jadi orang miskin

Oleh Syanty Octavia Amry

GELARAN ‘Putera Kayangan’ bukanlah alasan untuk pelakon Nazim Othman menolak watak lelaki kampung dan miskin.

Malah, Nazim, 35, sanggup turun ke Jalan Chow Kit semata-mata mencari pakaian terpakai yang bersesuaian dengan watak lakonanya.

“Saya memang suka bersiap dan sangat menjaga penampilan tetapi untuk watak saya tidak kisah jadi lelaki kampung dan miskin.

“Sebenarnya saya rindukan watak sebegini kerana sudah biasa melakonkan karakter lelaki kaya dan romantik,” katanya.

Menurut Nazim lagi, dia juga tidak kisah memakai baju lusuh dan buruk untuk menjiwai karakter lelaki miskin.

“Pada awalnya produksi tidak percaya saya mahu menjayakan watak seperti ini. Namun, saya mahu mencabar diri dengan watak berbeza daripada apa yang selalu saya lakukan sebelum ini.

“Malah, saya pergi sendiri ke Jalan Chow Kit untuk mendapatkan baju-baju terpakai bagi digunakan dalam drama,” katanya.

Nazim memegang watak sebagai lelaki kampung dan miskin menerusi drama bersiri Cindai dan Lara Syakila yang akan ditayangkan tidak lama lagi.

Selain itu, drama lakonan Nazim berjudul Suri Katriana akan menemui penonton pada 30 Oktober ini di saluran Astro Prima (105) dan Prima HD (121) bermula jam 6 petang.

Disiarkan pada: October 23, 2019 @ 4:57pm
d