rap

'Cari saya di akhirat' - Aiman Tino

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

“SAYA reda dengan kejadian itu tetapi tidak halalkan barangan yang dicuri. Saya percaya suatu hari nanti pencuri terbabit akan mencari saya di akhirat,” kata penyanyi Aiman Tino, 21 mengulas perkembangan terbaru kejadian kereta Perodua Myvi miliknya dipecahkan di Kampung Melayu Subang, Selangor pada 5 September lalu.

Aiman berkata, biarpun dia menawarkan RM8,000 kepada suspek untuk memulangkan semua barangan diambil, sehingga hari ini tiada yang menghubunginya.

“Hampir dua bulan kejadian itu berlaku. Suspek nampaknya tidak mempedulikan tawaran dan mungkin dia sudah menjualnya.

“Kalau ikut logik akal, mana ada pencuri mahu memulangkan barangan yang dilarikan,” katanya ditemui pada sidang media pelancaran Busking Permata Kasih Untukmu 2.0 di Cheras, hari ini.

Disebabkan itu Aiman menganggap barangan itu sudah lupus dan tidak akan diperoleh semula.

“Perbuatan suspek amat menyusahkan saya kerana banyak hasil kerja disimpan dalam komputer riba dan kamera GoPro.

“Akibat kejadian itu, saya terpaksa ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk mendapatkan semula kad pengenalan serta passport,” katanya.

Menurut Aiman lagi, pihak polis memaklumkan proses mengesan cap jari suspek pada kenderaan akan mengambil masa sebelum tangkapan dibuat.

“Buat masa ini, saya hanya mampu berdoa supaya barangan itu dapat ditemui semula,” katanya.

Pada 7 September lalu, Harian Metro melaporkan Aiman sanggup membayar RM8,000 kepada individu yang memulangkan barangan miliknya iaitu komputer riba, kamera GoPro dan beg mengandungi MyKad serta passport yang hilang selepas keretanya dipecah di Kampung Melayu Subang. Malah, Aiman juga tidak marah dan sanggup memaafkan individu terbabit asalkan barangan penting itu dipulangkan semula. Kejadian jam 10 malam itu berlaku apabila Aiman dan rakannya singgah di sebuah kedai makan di kawasan itu selepas pulang dari Singapura.

Disiarkan pada: October 23, 2019 @ 6:53pm
d