rap

Persaingan sudah bermula

Oleh Rudy Imran Shamsudin

PERSAINGAN Mentor Milenia 2019 sudah bermula apabila protege memilih Mentor mereka.

Perubahan dilakukan musim ini ialah apabila seramai 20 peserta dipilih lebih awal sebelum mentor terdiri daripada penyanyi popular seperti Akim, Black, Hazama, Stacy dan Ernie Zakri menilai 10 yang layak.

Selepas itu 10 peserta yang layak meneruskan persaingan diberi kuasa untuk memilih mentor pilihan mereka dan keputusannya seperti yang diketahui umum Ahad lalu.

Protege yang berada di bawah pengawasan Akim ialah Muhammad Aidil Kamarulzaman, 22, atau Aedy Kama dan Muhamad Asyraff Mohd Zamani, 20 (Bulan).

Muhammad Firdaus Abdul Rafi, 20, atau Daus Husny dan Mohd Yuzrul Abdul Latip, 21, (Yazrul Arrep) pula memilih Ernie Zakri.

Sarifah Noor Hasmah Syed Hassim, 19, atau Sharee Lopes dan Nazrul Fhad Sulaiman Fahmi, 20, (Ryan Que) pula memilih Black, manakala protege di bawah Stacy ialah Abdul Amir Ariff Abdul Manaf, 22, (Remy Manaf) dan Erika Rianty Anthony, 19 (Rika Riana).

Sementara itu, dua lagi peserta yang layak iaitu Ahmad Amirul Hafizi Ahmad Tadjuddin, 23, atau Apex Tajudin dan Ameerul Solihin Ariffin Malek, 22, (Arayn Malik) memilih berada di bawah pengawasan Hazama.

Daripada 10 protege terbabit, Daus dan Apex dilihat memiliki kelebihan kerana nama mereka terlebih dulu mencuri tumpuan umum.

Daus menjadi perhatian apabila diberi peluang menyanyi bersama Sarah Suhairi ketika penyanyi itu mengadakan sesi bertemu peminat.

Nyanyian Daus mendapat pujian ramai dan rakaman dia berduet dengan Sarah turut menjadi viral.

Apex pula menjadi viral dan rakaman nyanyiannya sewaktu minggu pertama Mentor Milenia 2019 muncul trending di YouTube.

Daus berkata, dia tidak menganggap perkara itu kelebihan sebaliknya ia memberikan tekanan kerana sudah tentu ada yang menaruh harapan tinggi mahu melihat sejauh mana kemampuannya.

“Rakaman itu hanya nyanyian sedikit dan bukan sepenuhnya. Saya sendiri tidak menyangka sekadar suka-suka menyanyi sewaktu Sarah menghalakan mikrofon dan tiba-tiba menjadi perhatian umum dan menjadi viral,” katanya.

Menurut Daus, dia tidak mempunyai pengalaman menyertai program realiti.

“Saya mengharapkan Ernie dapat membimbing saya untuk menyanyi dengan baik. Saya memilihnya kerana seperti yang umum ketahui selain menyanyi dia juga guru vokal. Saya mahu mempelajari selok-belok mengenai nyanyian dengannya,” katanya.

Bagi membolehkan dia menyertai Mentor Milenia 2019, Daus yang kini mengikuti pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) memohon menangguhkan pengajian untuk satu semester.

Sementara itu, Apex yang berasal dari Kuala Berang, Terengganu tidak menyangka nyanyiannya pada minggu pertama konsert pemilihan 20 peserta Mentor Milenia 2019 menjadi trending dan mendapat perhatian umum.

“Saya mengharapkan penerimaan baik terhadap nyanyian saya akan berterusan sepanjang saya menyertai pertandingan ini.

“Apabila menjadi perhatian saya rasa bimbang juga. Takut dengan harapan tinggi daripada penonton program ini. Harap-harapnya Hazama dapat membimbing saya untuk menjadi seorang penyanyi dan penghibur yang baik sepertinya,” kata bapa kepada seorang anak ini.

Dua lagi peserta terpilih untuk musim ini dijangka turut memberikan saingan. Mereka juga mempunyai kelebihan dari sudut bakat iaitu Yazrul, protege Ernie dan Arayn bersama Hazama.

Disiarkan pada: October 25, 2019 @ 5:15pm
d