rap

Tomok bakal dapat anak ketiga

Oleh Syafil Syazwan Jefri

PENYANYI dan pelakon, Tomok berkongsi berita gembira dengan memuat naik gambar alat ujian kehamilan dengan tanda positif di Instagram yang menunjukkan isterinya, Rahayu Abas atau Ayu kini disahkan hamil anak ketiga mereka.

Dalam hantaran itu, Tomok bersyukur dengan berita itu dan mendoakan isterinya sihat dan dipermudahkan Allah untuk segala urusan.

“Satu berita gembira untuk kami sekeluarga. Ayah doakan ibu dipermudahkan segalanya. Arrian dengan Andra nak dapat adik! Alhamdulillah. Terima kasih Allah," tulisnya di Instagram.

Muat naik itu menerima lebih 2,000 komen dan lebih 115,000 tanda suka daripada warganet yang turut gembira dengan berita itu.

Di Instagram Story, Tomok berkongsi video dia bersama dua anaknya, Arrian dan Andra dan bertanya mengenai perasaan mereka apabila bakal mendapat adik baru.

Sementara itu, Ayu turut berkongsi perkara sama di Instagram Story, namun ingin mendapatkan pengesahan daripada doktor terlebih dulu.

"Alhamdulillah. Alat ujian kehamilan ini tepat 99 peratus. Dari keputusannya, 3+ bermaksud lebih dari empat minggu. Untuk lebih sahih, perlu buat pemeriksaan dengan doktor," tulisnya.

Tomok dan Ayu berkahwin pada 2 Julai 2011 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Arrianshah Akid, lapan tahun dan Andrashah Iman, lima tahun.

Disiarkan pada: October 25, 2019 @ 5:57pm
d