rap

Keena lamar kekasih depan pusat beli-belah [METROTV]

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

PENYANYI Keena Mentor, 33 mencipta kelainan tersendiri apabila melamar teman lelakinya, Noor Azam Zohari, 45, di pintu masuk sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya yang turut disaksikan orang ramai, hari ini.

Keena berkata, dia melakukan kejutan itu selepas dua kali lamaran daripada Noor Azam ditolak sebelum ini.

"Pada Julai dan Oktober tahun lalu, teman lelaki membuat lamaran untuk mengahwini tetapi saya menolaknya kerana bimbang apabila melihat ramai artis kahwin cerai.

"Selepas memikirkan masak-masak, saya bersedia untuk dikahwini dan memberi kejutan melamarnya sendiri di tempat kerja," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Menurut Keena, dia menjangkakan majlis perkahwinan mereka adalah pada Ogos tahun hadapan.

Terdahulu, Keena yang ditemani rakan rapatnya iaitu Nazri, Kang Li, Fida, Oli dan Aliff AF berarak dari Damansara Uptown dengan menunggang motosikal berkuasa tinggi bagi membuat lamaran itu di tempat kerja Noor Azam di pusat beli-belah berkenaan.

Lamaran di depan pintu masuk pusat beli belah itu turut disaksikan orang ramai hingga mengejutkan Noor Azam sebaik Keena menyerahkan sebentuk cincin yang juga cincin pertunangan mereka.

Sementara itu, Noor Azam berkata, dia terkejut apabila Keena hadir bersama rakan-rakannya menghantar lamaran tunang di tempat kerjanya.

"Ini amat mengejutkan dan Alhamdulillah kami akan ke jenjang pelamin, selepas dua kali lamaran saya ditolaknya," katanya.

Noor Azam berkata, dia mengenali Keena empat tahun lalu dalam aktivti permotoran di Melaka sebelum menjalin hubungan serius.

Disiarkan pada: October 25, 2019 @ 6:39pm
d