rap

Fauziah Nawi sabar menanti...

Oleh Norhayati Nordin

AKTIVIS teater dan pelakon Fauziah Nawi, 66, masih sabar menunggu perkembangan berita pencarian anak lelakinya, Pitt Haniff, 43, yang dikhuatiri lemas dan masih hilang di Sungai Mela, Kuala Lipis, Pahang.

Pitt Hanif atau nama sebenar Mohd Firdaus Mohamad Hanif yang juga seorang pengarah hingga kini belum ditemui selepas bot dinaikinya bersama rakan, Sham Mokhtar, 38, terbalik dan pecah dua ketika mereka memancing di sungai berkenaan kira-kira jam 11 pagi semalam.

Fauziah dihubungi Harian Metro menerusi aplikasi WhatsApp memohon maaf kerana dia masih menunggu perkhabaran lanjut berhubung pencarian anaknya.

"Maaflah, kalau nak tanya apa-apa mengenai Pitt, saya tak ada apa-apa butiran lanjut.

"Sampai kini anak saya belum ditemui. Tolong faham dan terima kasih kerana bertanya,” katanya.

Fauziah juga berharap semua pihak memahami situasi sedih dialaminya dan keluarga ketika ini.

Menerusi laporan disiarkan portal akhbar ini sejak semalam, Pitt dan Sham yang juga seorang jurukamera dikata melakukan aktiviti riadah sekitar jam 9 pagi selepas menamatkan penggambaran filem Coast Guard di kawasan berdekatan.

Mereka menaiki sebuah bot fiber untuk melakukan aktiviti memancing, namun bot dinaiki tiba-tiba terbalik menyebabkan kedua-duanya terjatuh ke sungai.

Malah, Sham sudah ditemui dan selamat tetapi Pitt masih hilang serta usaha mencarinya giat dilakukan sehingga kini oleh pihak berkaitan.

Disiarkan pada: October 27, 2019 @ 2:58pm
d