rap

'Bukan sebab susuk tapi sakit gusi puncanya'

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

"Saya tak pakai susuk, tolong hentikan dakwaan sebegini," kata penyanyi terkenal era 80-an, Datuk Nassier Wahab yang menafikan menggunakan susuk hingga memberi kesan terhadap masalah kesihatannya baru-baru ini.

Nassier berkata, dakwaan segelintir pihak mengatakan dia melakukan amalan syirik itu tidak benar sama sekali.

"Tuduhan ini sudah lama berlegar-legar di telinga apabila orang mengaitkan masalah kesihatan saya (baru-baru ini) adalah akibat kesan menggunakan susuk.

"Saya tidak ambil kisah tuduhan itu, yang penting saya makin sihat dan tidak melakukan sesuatu dimurkai Allah SWT," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Nassier berharap tuduhan jahat itu dihentikan segera tambahan pula ia satu fitnah.

Menjelaskan mengenai masalah kesihatannya, Nassier berkata dia ada masalah gusi sebelum giginya dicabut pada 2016.

"Ketika menerima rawatan, doktor tidak menjahit semula gusi menyebabkannya terdedah kepada bakteria. Akhirnya, ia menyebabkan ketumbuhan di leher kiri.

"Masalah kesihatan yang dihidapi ketika ini disebabkan gusi bukan akibat pemakaian susuk seperti didakwa," katanya.

Menurut Nassier, dia menerima ketentuan Allah SWT dan yakin ada hikmah di sebaliknya.

"Buat masa ini saya masih menerima rawatan dan selepas seminggu, semuanya akan selesai. Doktor minta saya berehat panjang dan dalam perancangan akan ada satu lagi pembedahan," katanya.

Biarpun begitu, Nassier berdepan kesukaran untuk makan kerana mulut tidak dapat dibuka dengan sempurna.

Pada 12 April tahun lalu, penyanyi yang terkenal menerusi lagu Memori Cinta Luka itu dimasukkan ke sebuah hospital di ibu kota untuk membuang kelenjar dan ketumbuhan di leher kiri.

Penyakit itu dihidapinya selepas membuat pembedahan gigi. Pada 1 Jun yang lalu, Nassier sekali lagi menjalani pembedahan bagi membuang ketumbuhan pada leher kirinya.

Disiarkan pada: October 27, 2019 @ 5:34pm
d