rap

Muaz teruskan legasi bapa

Oleh Najiy Jefri

SIAPA sangka pendatang baharu yang memperkenalkan diri sebagai Muaz atau nama penuhnya Muhammad Muaz Mustaqim Rosman ini sebenarnya mewarisi bakat bapanya yang juga vokalis kumpulan rock Qiara, Rosman.

Andai pada era 90-an bapanya menakluk industri muzik kini anaknya pula meneruskan legasi terbabit.

“Ramai yang tak tahu sebenarnya bapa saya vokalis kumpulan Qiara, tetapi dia sudah lama tidak terbabit dalam industri seni hiburan.

“Darah seni yang mengalir dalam diri saya warisi daripada ayah. Sebelum ini tidak pernah terfikir akan menjadi penyanyi, namun selepas disunting Hafiz Hamidun di Instagram, saya bulatkan hati mencuba nasib.

“Selama ini hanya sekadar suka-suka buat video menyanyi di Instagram, tak sangka pula ada yang nampak bakat saya,” katanya.

Kata remaja berusia 18 tahun ini, dia artis pertama disunting Syarikat Strumhits milik Hafiz awal tahun ini.

“Sebagai salam perkenalan, single berjudul 5 Minit ciptaan bekas anggota kumpulan Sleeq, Alif dilancarkan.

“Alhamdulillah, single ini mendapat sambutan baik daripada peminat dan pendengar. Namun, saya perlu bekerja lebih keras untuk mempromosikannya.

“Lagu ini ‘catchy’ dan boleh dinyanyikan bersama. Diharapkan single ini berjaya menawan hati semua pendengar,” katanya.

Anak sulung daripada empat beradik ini berkata, sejak kecil dia sering dibawa bapa ke lokasi persembahan dan diberi pendedahan awal di pentas.

Ketika nekad untuk menjadi penyanyi pada usia muda, bapanya memberikan beberapa pesanan dan ingatan.

“Ayah banyak memberikan nasihat sebelum saya melangkah masuk ke dalam industri.

“Antaranya, dia minta saya menjaga diri dan jaga hubungan baik dengan orang ramai terutama peminat serta rakan yang banyak membantu.

“Meskipun pada awal kehadiran agak pemalu, saya cuba ubah sikap dan bergaul dengan orang.

“Saya mahu serius dalam bidang ini dan berharap banyak pihak nampak bakat diri ini,” katanya.

Disiarkan pada: October 29, 2019 @ 5:00am
d