rap

'Masya dah macam adik' - Usop Mentor

Oleh Ramlah Zainal

PENYANYI kelahiran program realiti Mentor, Usop, 22, menafikan gosip dia bercinta dengan penyanyi Masya Masyitah kerana sering memuat naik gambar bersama di Instagram masing-masing ketika ini.

Usop berkata, dia memang berkawan rapat dengan Masya tetapi tidak lebih dari rakan seperjuangan dalam bidang muzik.

“Saya memang selesa berkawan dengan Masya kerana kami berasal dari kampung yang sama di Kedah. Lagipun kami dari syarikat pengurusan sama iaitu Rocketfuel Entertainment.

“Kami tidak bercinta kerana saya anggap Masya seperti adik kerana dia baru berusia 19 tahun,” katanya kepada Harian Metro.

Bagaimanapun, Usop memilih Masya untuk menjadi pasangan duetnya dalam single terbaru selepas ini.

“Saya memang ada perancangan mahu menghasilkan lagu duet dengan Marsya selepas ini. Ramai peminat yang menyukai gandingan kami kerana nampak serasi. Bagaimanapun, ia masih dalam perancangan dan perbincangan dengan pengurusan kami,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Usop yang juga bekas protege Hazama kini sibuk mempromosikan single kedua berjudul Selamanya.

“Alhamdulillah, ia mendapat sambutan baik peminat dan kini sudah mencecah lima juta tontonan di YouTube dalam tempoh tiga bulan,” katanya.

Disiarkan pada: October 29, 2019 @ 2:11pm
d