rap

Zamani mahu fokus umrah, tak bawa telefon

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

“SAYA dan isteri dengan rendah hati memohon maaf kepada kenalan serta peminat sekiranya ada melakukan kesalahan. Doakan supaya perjalanan umrah kami berjalan lancar dan mendapat umrah yang mabrur,” kata penyanyi Zamani Ibrahim.

Zamani, 48, berangkat mengerjakan umrah jam 7 malam tadi bersama isterinya, Nur Juliana Abdul Rani, 36, serta beberapa ahli keluarga iaitu kakak kandungnya Zuraidah, bapa mentua dan penyanyi Zynakal yang juga anak saudaranya.

Mereka turut diiringi lapan wakil daripada agensi umrah Kyda Travel yang menguruskan perjalanan dan kemudahan sepanjang di sana sehingga pulang ke tanah air pada 12 November nanti.

Penyanyi kumpulan Slam itu berkata, dia mahu fokus mengerjakan amal ibadat sepenuhnya sepanjang berada di Tanah Suci tanpa memikirkan hal lain.

“Diikutkan pelbagai perkara difikirkan tapi yang penting saya nak tumpu pada beribadat. Niat ke arah situ sahaja.

“Kalau nak difikirkan macam-macam perkara, memanglah takkan habis. Tapi insya-Allah sampai sahaja di sana, saya nak fikir ibadat sahaja.

“Sepanjang 12 hari di sana, saya bertekad akan melapangkan fikiran daripada hal dunia. Bahkan telefon pun saya tak bawa,” katanya kepada Harian Metro.

Zamani dan Juliana belajar persediaan mengerjakan umrah dengan seorang ustazah berpengalaman serta diberi buku panduan khas.

“Alhamdulillah, sedikit sebanyak persediaan sudah dibuat. Kesihatan saya boleh dikatakan bagus. Namun, sudah pasti saya bawa ubat sebagai langkah berjaga-jaga dan rawatan.

“Saya juga tahu keadaan di sana ramai orang dan apa saja dugaan nanti saya akan tempuh.

“Yang penting saya mahu mendoakan yang baik-baik untuk semua kenalan dan peminat serta minta ampun daripada Allah atas dosa dilakukan,” katanya.

Tidak lupa, dia juga akan mendoakan supaya kesihatannya stabil serta dikurniakan rezeki mendapat anak secepat mungkin.

Disiarkan pada: October 30, 2019 @ 7:46pm
d