rap

Taeyeon nyanyi lagu tema Frozen 2

Oleh Georgie Joseph

ANNYEONGHASEYO! Menjadi sebahagian daripada keluarga Disney sememangnya impian ramai selebriti termasuk yang sudah mencipta nama besar.

Apalagi jika karya itu naskhah yang cukup fenomena. Terbaharu, penyanyi yang juga anggota Girls’ Generation, Taeyeon terpilih menyanyikan lagu tema filem Frozen 2 berjudul Into the Unknown versi Korea.

Berita itu diumumkan Disney Korea menerusi Instagram. Dalam pengumuman itu, Disney Korea menyifatkan pemilihan Taeyeon sangat tepat. Bukan saja disebabkan pengaruhnya yang cukup besar, tapi dia sendiri memang penyanyi hebat.

“Artis yang akan menyanyikan semula lagu itu adalah vokalis serba berbakat yang sememangnya sangat dipercayai dan paling anda dengari selalu, Taeyeon.

“Kami sudah cukup teruja dan bergembira pada musim sejuk ini. Pengumuman besar untuk poster Taeyeon dalam Frozen 2,” demikian kenyataan syarikat berkenaan.

Dalam pengumuman itu, Disney turut menyertakan tanda pagar Into the Unknown, Don’t Be Afraid dan Grand Premiere in November.

Versi asal lagu berkenaan masih dinyanyikan aktres dan penyanyi Broadway terkenal, Idina Menzel yang turut menyanyi lagu Let It Go daripada sekuel Frozen terdahulu.

Idina turut menyumbangkan suara untuk watak utama Elsa dalam filem itu. Ternyata Taeyeon turut tidak mahu ketinggalan untuk berkongsi mengenai berita gembira berkenaan menerusi Instagramnya.

Penyanyi terbabit serta-merta memuat naik poster itu di akaunnya sendiri - ‘Dunia muzik Taeyeon yang merangkumi segala-galanya’, demikian kapsyen ditulisnya.

Frozen 2 adalah sekuel untuk filem muzikal fantasi terbitan Walt Disney Animation Studios, Frozen yang ditayangkan pada 2013. Sekuel kedua itu akan menceritakan mengenai pengembaraan terbaharu Elsa, Anna, Kristoff, Olaf dan Sven yang penuh mencabar.

Terdahulu, Frozen berjaya mencipta fenomena luar biasa di seluruh dunia terutama dalam kalangan kanak-kanak. Bahkan, fenomena itu berterusan sehingga kini dan masih jadi ikutan.

Filem arahan Jennifer Lee dan Chris Buck berkenaan turut mencipta kutipan pecah panggung lebih RM5.4 bilion di seluruh dunia.

Dalam sekuel pertama, versi asal lagu temanya, Let It Go dinyanyikan dalam dua versi oleh Idina Menzel dan Demi Lovato. Untuk versi Korea, versi Idina dinyanyikan Hye Na Park manakala versi Demi oleh Hyolyn.

Disiarkan pada: October 31, 2019 @ 5:00am
d