rap

Kilang Fouziah Gous diserbu kerana cemburu

Oleh Norhayati Nordin

PELAKON dan pengacara Datin Fouziah Gous, 36, mendedahkan kilang pemprosesan produk minuman kesihatan sarang burung miliknya sudah beberapa kali diserbu pihak berkuasa berikutan ada yang cemburu dengan perniagaan yang diusahakan itu.

Menurut Fouziah, dia mengusahakan perniagaan minuman berasaskan sarang burung walet sejak 2008.

"Sudah banyak kali kilang diserbu berikutan ada dakwaan kononnya produk sarang walet yang saya usahakan tidak halal.

“Dua hari lalu kena serbu lagi kerana pihak berkuasa ada terima aduan,” katanya kepada Harian Metro.

Tegas Fouziah, dia tidak gentar dengan tuduhan tidak berasas individu yang cuba menjatuhkan reputasi perniagaannya.

"Lucu bila kenang semua dakwaan tidak masuk akal itu. Namun, apa boleh buat, itulah adat persaingan dalam perniagaan.

“Hakikatnya, perniagaan yang saya usahakan bertahun-tahun ini mengikut prosedur dokumen yang betul. Jadi, kenapa saya perlu takut? Prinsip saya mudah, kalau tidak melakukan sebarang kesalahan, tunjuk sahaja bukti dokumen yang diminta pihak berkuasa,” katanya.

Ditanya status dirinya yang kini layak digelar jutawan, Fouziah berkata itu impian semua orang.

“Apa yang saya impikan, Allah SWT sudah berikan lebih daripada itu. Apabila sudah banyak yang Allah beri, saya kena bersyukur dan terus berusaha," katanya.

Dalam pada itu, Fouziah percaya apa yang diraih juga adalah satu dugaan.

“Saya berusaha berikan yang terbaik kepada pekerja dan keluarga.

“Apa yang saya inginkan bukanlah gelaran jutawan itu tetapi saya sentiasa mengharapkan doa berterusan,” katanya.

Fouziah yang kini membintangi drama Sara Sajeeda di TV3 bertemu jodoh dengan ahli perniagaan Datuk Mohd Zhafran Md Yusof.

Mereka yang bernikah pada September 2013 dikurniakan dua cahaya mata lelaki iaitu Muhammad Zeeshan, 4 dan Zaheen Yusof, 2.

Disiarkan pada: November 1, 2019 @ 8:42pm
d