rap

Peminat perlu timbang rasa

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

KITA selalu mendengar peminat dan artis saling memerlukan di antara satu sama lain. Peminat juga menjadi tulang belakang di sebalik populariti yang dikecapi mereka.

Kemunculan pelbagai program realiti yang memerlukan pembabitan kedua-dua pihak menjadi bukti hakikat ini.

Bagaimanapun, kadang-kadang berlaku juga insiden kurang enak membabitkan hubungan baik kedua-dua pihak.

Seperti biasa, peminat mengharapkan artis pujaannya sentiasa melayani dan mendahulukan mereka dalam apa juga situasi.

Jika sebaliknya, mereka mula memuat naik perasaan tidak puas hati di laman sosial.

Artis pula mahu peminat memahami situasi mereka yang kadangkala tidak sentiasa berada dalam ‘mood’ yang baik.

Cuit Sikit minggu ini mendapatkan komen tiga artis bagi mengulas isu terbabit.

Eyka Farhana (Pelakon)

“Kadang-kadang artis perlukan privasi sendiri. Namun, pada masa sama kita kena sedar peminat yang memainkan peranan penting menaikkan atau menjatuhkan nama kita.

Mereka takkan tahu sama ada kita letih atau tiada ‘mood’ dan kita boleh tolak dengan cara yang paling sopan.

Saya sendiri kadang-kadang ‘bad mood’ tapi tiba-tiba ada peminat nak datang ambil gambar. Ada juga situasi peminat yang sama pasti akan bergambar setiap kali berjumpa di mana-mana acara.

Bagi saya ia bukan masalah kerana ia menunjukkan mereka betul-betul minat kita. Saya kena terima dan memang bagus jika ada peminat yang begitu.”

Azlan Typewriter (penyanyi)

“Bagi saya orang yang sengaja tolak permintaan peminat atau halau mereka daripada bergambar adalah kurang profesional.

Sebenarnya itulah peminat mereka yang fanatik. Semua artis kadang-kadang tertekan dengan situasi itu tapi kena ingat populariti ibarat putaran roda.

Ada artis generasi baharu yang tak belajar erti kepayahan untuk hidup. Sebab itu mereka boleh bertindak begitu.”

Noorkhiriah (pelakon)

“Perkara ini ada pro dan kontranya, cuma perlu ada pertimbangan daripada peminat untuk faham situasi artis terbabit. Artis pula kenalah cakap dengan cara baik-baik kerana bukan semua faham ketika itu dia tengah penat dan sebagainya.

Peminat juga berpegang pada kata-kata artis milik masyarakat. Jadi, bagilah peluang apabila diminta bergambar. Ia bukan ambil masa lama pun.

Kita ada peminat fanatik yang memang rajin bergambar walaupun sudah selalu jumpa. Mereka nak jadikan koleksi dan kita sokong saja demi kebaikan karier.”

Disiarkan pada: November 2, 2019 @ 5:10am
d