rap

'Tinggalkan dunia glamour, jom business!' - Rahmat Mega

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

PENYANYI Rahmad Tohak atau Rahmat Mega, 49, mempelawa barisan artis tanah air menjalankan aktiviti keusahawanan kerana populariti yang diraih tidak akan bertahan lama.

Rahmat berkata, artis perlu keluar dari zon selesa dan mencari kelainan untuk meneruskan kehidupan.

“Jangan terlalu bergantung harap dengan industri hiburan dan artis perlu berani keluar dari kepompong dunia seni,” katanya yang kini mengusahakan tapak perniagaan makanan, The Stage di Jalan Puchong, Off Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.

Menurut Rahmat, karier sebagai artis dan ahli perniagaan tidak sama kerana ia memerlukan ketahanan.

Berkongsi aktiviti terbarunya, Rahmat berkata, dia meninggalkan sepenuhnya pelaburan bitcoin dan mengusahakan tapak itu membabitkan 18 kedai makan serta minuman sejak Ogos lalu.

Katanya, kawasan itu dibangunkan sebaik dicadangkan rakan dan dia melihat ada potensi untuk dimajukan.

“Sejak Februari lalu, saya berhabis RM200,000 untuk membangunkan kawasan ini tetapi gagal. Disebabkan itu, saya terpaksa mencari modal lain sebelum ia beroperasi pada Ogos lalu,” katanya.

Menurutnya, bagi memastikan tapak itu tidak sunyi beberapa band turut dijemput bagi mengadakan persembahan mingguan.

“Suatu ketika dulu, saya hampir kecewa dan mahu mengundur diri daripada aktiviti ini. Manakan tidak, program keusahawanan bukannya mudah dan ia memerlukan kekentalan,” katanya yang turut memiliki kilang keropok lekor di Terengganu dan bengkel kereta di Lembah Klang.

Disiarkan pada: November 2, 2019 @ 12:04pm
d