rap

'Saya hanya kongsi rasa gembira dan kasih sayang' - Nabila Huda

Oleh Syanty Octavia Amry

PELAKON Nabila Huda menegaskan tindakannya memuat naik gambar swafoto bersama seekor anjing ketika bercuti di New Zealand baru-baru ini bukanlah untuk memberi pengaruh tidak baik kepada masyarakat.

Menurutnya, niat dia adalah sekadar berkongsi rasa gembira dan rasa kasih sayang terhadap haiwan termasuklah anjing.

“Anjing juga makhluk Allah dan saya rasa tidak ada masalah untuk kita berbuat baik dengan semua termasuk haiwan. Lagipun ketika bergambar saya dan anjing itu dalam keadaan kering, malah saya sudah samak.

“Saya anggap perkara ini diperbesarkan dan menjadi isu kerana saya seorang selebriti sedangkan di luar sana ramai lagi yang melakukan perkara sama,” katanya.

Nabila berkata, dia tahu memegang anjing itu haram tetapi itu bukan isu yang harus diperbesarkan.

“Banyak lagi perkara yang harus dibimbangkan seperti masalah dalam kalangan remaja sekarang berbanding membahaskan isu saya memegang anjing,” katanya.

Baru-baru ini, Nabila memuat naik gambar swafotonya bersama seekor anjing dan tindakannya itu turut mendapat teguran daripada Pencetus Ummah (PU) Syed.

Syed berkata, perbuatan seperti itu sudah menjadi kebiasaan dalam kalangan selebriti sekarang ini dan bimbang akan menimbulkan fitnah terhadap agama Islam.

Katanya, jika mahu mengambil gambar sekalipun tidak perlu dimuat naik untuk tayangan umum kerana bimbang akan menimbulkan fitnah kepada diri sendiri dan menjadi ikutan terhadap peminatnya.

Disiarkan pada: November 2, 2019 @ 5:20pm
d