rap

Shalma kuat semangat

Oleh Syanty Octavia Amry

MESKIPUN kakinya yang patah belum pulih sepenuhnya, bakat baharu Shalma Eliana enggan berpeluk tubuh sebaliknya melancarkan single kedua berserta video muzik berjudul Mahukah Kamu.

Penyanyi berusia 19 tahun itu akur tidak boleh terlalu lasak tetapi bukan alasan untuk tidak melakukan sesuatu.

Demi kelangsungan karier, dia harus kuatkan semangat.

“Walaupun single kedua ini dilancarkan lewat, saya gembira dengan muzik video yang dimuat naik serentak di YouTube.

“Selain perlu mengubah sedikit susunan lagu, masalah kesihatan (patah kaki) antara punca mengapa single ini lambat diperkenalkan kepada peminat.

“Ikut perancangan asal sepatutnya dilancarkan enam bulan selepas single pertama diperdengarkan kepada orang ramai Disember tahun lalu,” katanya.

Mahukah Kamu lagu duet bersama Fariz Jabba yang dicipta Aliff Abdullah.

Berkongsi perkembangan kakinya, Eliana berkata, walaupun kejadian sudah hampir tiga bulan, ia belum pulih.

Malah dia perlu membuat pemeriksaan susulan bagi memastikan tulang di tumit bercantum semula.

“Awalnya memang rasa putus asa kerana banyak perkara tidak boleh saya lakukan.

“Malah, hendak keluar buat persembahan pun ayah tidak benarkan.

“Namun, saya bersyukur keluarga, kawan-kawan dan pengurusan tidak putus memberikan kata-kata semangat dan dorongan.

“Kesungguhan mereka buat saya semakin teruja untuk berkongsi muzik saya di laman sosial,” katanya yang patah kaki selapas melakukan percubaan melompat di kolam renang.

Eliana berkata, sebagai orang baharu dalam industri, dia tidak kesah sekiranya lambat dikenali kerana apa yang lebih penting baginya adalah boleh berkongsi muzik dengan orang ramai.

“Tak mengapa andai lambat naik. Fokus saya bukan populariti tetapi mahu lagu saya dinikmati ramai.

“Apabila orang suka dengan karya saya, lamakelamaan mereka akan kenal saya.

“Biarlah saya bertatih dari bawah kerana pengalaman itu akan jadikan diri lebih kuat dan menghargai apa yang saya ada,” katanya.

Disiarkan pada: November 3, 2019 @ 5:00am
d