rap

Mackenzie uji kemampuan diri

Oleh Susunan Ramlah Zainal

NAMA aktres muda berbakat besar dari Kanada, Mackenzie Davis mula meniti di bibir peminat menerusi filem The Martian dan Blade Runner 2049 pada 2017.

Antara filem lakonannya yang turut mencuri perhatian ramai ialah Smashed, Breathe In, That Awkward Moment dan Always Shine.

Terbaharu, Mackenzie, 32, diberi kepercayaan beraksi watak Grace dalam filem sekuel Terminator: Dark Fate yang kini ditayangkan di pawagam seluruh dunia.

Filem genre aksi sains fiksyen arahan Tim Miller itu menampilkan barisan pelakon hebat iaitu Arnold Schwarzenegger, Linda Hamilton, Natalia Reyes dan Gabriel Luna.

Dalam satu temu bual dengan wakil media baru-baru ini, Mackenzie mengakui pada mulanya, dia gementar ketika ditawarkan watak Grace dalam filem itu.

“Saya sendiri tidak tahu kenapa pengarah filem ini meminta menghadiri uji bakat watak Grace kerana saya sendiri tidak yakin melakonkannya.

“Namun, akhirnya, saya terima tawaran daripada pengarah filem ini kerana mahu keluar dari zon selesa,” katanya.

Mengenai cabaran pula, kata Mackenzie, dia berdepan kesukaran melakonkan watak Grace, askar yang juga separuh manusia dan robot dalam filem Terminator: Dark Fate itu.

“Saya perlu membina badan berotot dan menjalani latihan ketat di gimnasium untuk watak Grace itu.

“Ada babak tidak berbaju dan pastinya saya perlu pastikan tubuh nampak hebat serta sempurna di layar skrin.

“Saya juga bangga dan tidak sangka apabila melihat hasil filem ini. Maklumlah, saya bukannya atlet bina badan untuk melakukan semua rutin ketat bagi mendapat bentuk badan berotot di gimnasium,” katanya.

Linda sebagai sumber inspirasi

Filem Terminator: Dark Fate juga banyak mengajar Mackenzie menjadi wanita yang kuat di layar perak.

“Susuk tubuh wanita yang kuat itu lahir daripada karakter Sarah Connor yang dilakonkan pelakon senior, Linda Hamilton, 63.

“Saya melihat watak Sarah juga mengajar wanita untuk menjadi kuat dan berdikari,” katanya.

Menurut Mackenzie, Linda juga menjadikan filem aksi sekuel itu hebat.

“Linda seorang yang menakjubkan. Pada pandangan saya banyak aspek penting perlu diambil kira jika kita menampilkan filem yang diterajui tiga wanita daripada latar berbeza.

“Kami bukan saja berbeza usia dan negara termasuk dari Amerika Latin. Cuma apabila di layar skrin, kami sangat teruja melakonkan karakter masing-masing,” katanya.

Katanya, dia menyukai lakonan Linda kerana sangat menjiwai watak dilakonkan hingga membuatkan filem Terminator: Dark Fate nampak hebat.

“Linda sangat memberi inspirasi dan motivasi kepada kami pelakon muda ketika penggambaran dijalankan.

“Saya sangat menghormati apa yang dilakukannya ketika di lokasi penggambaran. Bayangkan ketika saya dan pelakon lain sudah penat, Linda tetap bertenaga di lokasi untuk menghabiskan baki penggambaran,” katanya.

Bagaimanapun, kata Mackenzie, dia sebenarnya tidak suka melihat karakter wanita yang terlalu kuat digambarkan dalam filem.

“Secara jujur, saya tidak suka melihat watak wanita ditonjolkan sangat kuat dan berkuasa dalam filem. Tapi filem ini sudah meninggalkan impak karakter sedemikian pada filem seterusnya,” katanya.

Disiarkan pada: November 4, 2019 @ 5:00am
d