rap

Dangdut Sarah Suhairi dapat sambutan luar biasa di Korea

Oleh Georgie Joseph

PENYANYI, Sarah Suhairi mengakui tersentuh dengan sambutan luar biasa terhadap video persembahannya di YouTube menyanyikan lagu dangdut di Festival Jagalchi, Busan, Korea Selatan, baru-baru ini.

Sarah, 19, berkata persembahannya menerusi lagu Senggol Senggolan, Cubit Cubitan itu sebenarnya sebahagian daripada isi kandungan video milik bintang YouTube dari Korea Selatan, Blimey.

“Saya tidak menguar-uarkan mengenai persembahan di Festival Jagalchi itu disebabkan ia adalah kandungan asal untuk saluran YouTube Blimey. Saya tidaklah mahu membocorkan mengenai perancangan mereka itu.

“Tidak sangka pula festival itu sangat besar di sana dan jujur saya memang sangat risau. Apa tidak, sudahlah saya bertudung dan menyanyikan lagu bahasa asing, takut pula penonton di sana tidak faham.

“Syukur, ada juga yang menari bersama di pertengahan lagu apabila mereka sudah mula suka dengan rentak lagu itu. Selepas persembahan, ada seorang penyanyi trot tempatan di sana siap bergambar dengan saya dan memuji persembahan sangat bagus,” katanya.

Penyanyi Nyawa & Raga berkenaan turut teruja apabila video berkenaan mendapat perhatian dan perbualan sebaik dimuat naik di YouTube.

“Saya sangat bersyukur dengan peluang itu dan juga reaksi memberangsangkan terhadap video berkenaan. Meskipun pertama kali dalam hidup mempersembahkan dangdut, saya gembira ia dapat dinikmati penonton di festival itu.

“Jika ada lagi peluang untuk menjayakan festival sebegitu di sana pada masa hadapan, saya berbesar hati untuk menyambarnya. Apapun, saya harus berterima kasih kepada Blimey yang membuka peluang itu buat saya,” katanya.

Semalam, video persembahan dengan judul Artis Malaysia menyanyi dangdut di hadapan mak cik dan pak cik Korea berkenaan dimuat naik di saluran akaun Blimey di YouTube. Dalam masa sehari, video berkenaan berjaya mendapat tontonan lebih daripada 666,000.

Disiarkan pada: November 4, 2019 @ 6:16pm
d