rap

'Pelakon pembantu pun cukup'

Oleh Norhayati Nordin

MESKIPUN keutamaan kini adalah perniagaan, minat dalam kerjaya seni tidak pernah pudar di hati pelakon dan pengacara, Datin Fouziah Gous.

Bagi mengubat rindunya yang sudah lama tidak muncul di TV, Fouziah, 36, membintangi drama Sara Sajeeda di TV3.

Melakonkan watak Nelisa, ibu dua anak ini berkata, cukuplah untuknya sekadar tampil sebagai pembantu dalam drama itu.

“Ia bagi memudahkan saya menyusun jadual. Selain sibuk dengan urusan perniagaan, saya juga ada anak yang masih kecil.

“Mereka (anak) sangat perlukan perhatian saya. Jadi, dapat berlakon watak pembantu pun saya sangat bersyukur.

“Sekurang-kurangnya dapat juga melepaskan perasaan rindu. Malah, wajar juga untuk saya sekali-sekala kembali ke set penggambaran ,” katanya.

Fouziah yang pernah mengacarakan Nona di TV3 bertemu jodoh dengan ahli perniagaan, Datuk Mohd Zhafran Md Yusof pada September 2013.

Pasangan bahagia yang sudah enam tahun hidup bersama itu dikurniakan cahaya mata lelaki iaitu Muhammad Zeeshan, 4 dan Zaheen Yusof, 2.

Fouziah yang pernah membintangi drama Karma di TV9 berkata, sekarang bukan watak utama yang diharapkan.

“Apa yang pasti, tawaran berlakon yang saya terima itu tidak mengganggu urusan perniagaan dan anak.

“Soal watak, saya tidak memilih asalkan sesuai. Bagi saya, kemunculan dalam drama Sara Sajeeda sangat bermakna,” katanya.

Mengulas penerimaan suami, Fouziah berkata, tidak ada halangan baginya selagi mampu mengatur jadual kerja dengan baik.

Terdahulu, Fouziah muncul pada sambutan ulang tahun kelima rancangan beli-belah popular melalui TV, Go Shop.

Berbicara perancangan keluarga, Fouziah berkata dia dan suami mahu ramai anak.

“Kalau ada rezeki anak ketiga, alhamdulillah. Namun, sekarang fokus lebih tertumpu kepada dua anak lelaki kami.

“Mereka sedang membesar dan sangat perlukan perhatian. Jadi, saya dan suami berusaha berikan yang terbaik,” katanya.

Menyentuh perihal perniagaan, Fouziah menerokai perniagaan produk minuman kesihatan berasaskan sarang burung walet sejak 2008.

Sedekad berlalu, Fouziah berkata dia puas kerana segala usaha gigih dan kesabarannya berbalas dengan kejayaan produk itu di pasaran.

Disiarkan pada: November 5, 2019 @ 6:00am
d