rap

Ifan luah kerinduan pada arwah isteri

Oleh Ardini Sophia Sina

"TUNGGU aku di sana ya," tulis vokalis kumpulan Seventeen, Ifan yang ditujukan khas buat arwah isterinya, Dylan Sahara sempena ulang tahun perkahwinan mereka yang ketiga.

Ifan atau Riefian Fajarsyah menerusi Instagram tiga hari lalu berkongsi video pernikahan mereka serta menulis luahan rasa rindu terhadap isterinya.

"Tepat tiga tahun lalu, di tanggal ini aku mengucap kepada Allah untuk selalu menemanimu dalam suka dan duka sampai maut memisahkan.

"Selamat ulang tahun perkahwinan yang ketiga Dylan Sahara. Insya-Allah, nanti kita raikan ulang tahun kita lagi di syurga," tulisnya.

Ruangan komen dipenuhi dengan kata-kata semangat buat penyanyi itu supaya terus kuat menjalani kehidupan serta mendoakan semoga roh arwah dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

Pada 22 Disember tahun lalu, arwah Dylan antara mangsa tsunami yang melanda pantai Tanjung Lesung Beach Resort, Banten, Indonesia selain tiga anggota kumpulan Seventeen iaitu Bani (bass), Andi (dram) serta Herman Sikumbang (gitar).

Perkahwinan dengan Dylan adalah yang kedua buat Ifan yang sudah memiliki seorang anak perempuan hasil perkahwinan terdahulu.

Disatukan sebagai suami isteri pada November 2016, perkahwinan Ifan dan Dylan bagaimanapun tidak dikurniakan cahaya mata.

Disiarkan pada: November 5, 2019 @ 5:35pm
d