rap

Stesen main lagu ikut kesesuaian pendengar

Oleh Syafil Syazwan Jefri

SETIAP stesen radio mempunyai kelompok pendengar berbeza, justeru pemilihan lagu disesuaikan dengan usia golongan sasaran.

Pengurus Besar Kumpulan Audiens dan Pemasaran Ripple, Anida Tahrim berkata, stesen radio yang diwakilinya iaitu Hot FM dan Kool FM masing-masing mempunyai kumpulan pendengar tersendiri.

"Kita ada dua stesen radio iaitu Hot FM dan Kool FM yang kedua-duanya punya haluan tersendiri. Dari hari pertama Kool FM dilancarkan, kita sudah berikan keutamaan untuk memainkan lagu lama," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Anida, pihaknya juga terbuka untuk menerima lagu baru yang dikeluarkan oleh artis lama.

"Kami ada juga menerima lagu baru yang diterbitkan oleh artis lama. Jadi, pihak pengurusan akan berbincang untuk mencari kesesuaian sama ada ia sesuai dimainkan di Hot FM atau Kool FM.

"Begitu juga dengan lagu artis baru. Sekiranya sambutan menggalakkan walaupun dalam kalangan usia pendengar yang lebih dewasa, ia akan dimainkan di Kool FM," katanya.

Katanya, sasaran usia pendengar untuk Hot FM adalah antara 15 hingga 30 tahun manakala di Kool FM pula adalah dari 25 hingga 44 tahun.

Isu mengenai stesen radio memilih bulu dibangkitkan oleh penyanyi, Datuk Hattan yang meluahkan rasa kecewa dengan sikap beberapa stesen radio memilih untuk tidak memainkan lagu daripada artis lama.

Sementara itu, penyampai radio yang juga Pengurus Kanan Suria FM, DJ Lin berkata, pihaknya sentiasa bersikap terbuka dalam memilih lagu untuk dimainkan di stesen radio.

Katanya, pihak stesen itu tidak bersikap pilih bulu dan memastikan semua karya berkualiti, dimainkan sesuai dengan kehendak penonton.

"Sasaran pendengar kami adalah dari usia 25 hingga 39 tahun. Jadi, lagu yang kami mainkan pun adalah yang sesuai dengan usia pendengar antaranya lagu dari 1990-an, era 2000-an sehinggalah yang terbaru.

"Kami tidak ketepikan karya daripada penyanyi lama dan sentiasa mencari karya baru yang muncul di platform digital seperti YouTube untuk menyajikan lagu buat pendengar," katanya.

Menurut DJ Lin atau nama sebenarnya Roslinda Abdul Majid, pihak Suria FM sentiasa meletakkan kualiti sebagai kriteria utama sebelum sesuatu lagu dimainkan.

"Kualiti adalah perkara utama, tak kiralah daripada penyanyi lama atau penyanyi baru. Menjadi tanggungjawab stesen radio untuk memperkenalkan karya baru kepada pendengar.

"Secara tak langsung, kita kekalkan pendengar setia yang sedia ada dan pada masa sama, menarik perhatian pendengar baru untuk mendengar Suria FM," katanya.

Katanya, stesen radio dan artis saling memerlukan antara satu sama lain.

"Kita (artis dan stesen radio) saling memerlukan antara satu sama lain. Tanpa yang lama, tak akan ada yang baru. Itu yang perlu ditekankan dan diingat.

"Bila artis berkarya, kita sebagai stesen radio kena beri ruang dan peluang untuk bantu memperkenalkan karya mereka," katanya.

Disiarkan pada: November 5, 2019 @ 7:46pm
d