rap

Syukur majlis nikah lancar

Oleh Najiy Jefri

BENARLAH setiap yang berlaku itu pasti ada hikmahnya. Seseorang itu hanya akan merasai kemanisan di sebalik setiap ujian selepas reda dengan ketentuan Ilahi.

Ini yang dilalui pelakon Eyra Hazali, 20, sebelum sah bergelar isteri kepada lelaki pilihannya, Muhammad Haziq Nadzli yang juga penjaga gol skuad bola sepak kebangsaan dengan sekali lafaz di Masjid As-Syakirin KLCC, jam 9.35 malam,1 November lalu.

Terpaksa berdepan pelbagai dugaan menjelang hari pernikahan mereka, namun Eyra bersyukur semuanya berjalan lancar hasil pertolongan keluarga kedua-dua pihak.

“Sebelum bernikah, saya sangat gementar. Akhirnya saya bersyukur urusan pernikahan kami dipermudahkan dan majlis berjalan lancar.

“Banyak yang kami lalui menjelang hari pernikahan. Satu demi satu dugaan datang, termasuk urusan lokasi pernikahan.

“Selesai masalah lokasi, kami diuji pula dengan masalah katering. Bayangkan perasaan saya terpaksa berdepan semua itu. Namun, syukur semua masalah akhirnya dapat diatasi dengan baik,” katanya.

Eyra atau nama sebenarnya, Hazirah Qasdina Hazali dinikahkan bapanya, Hazali Ramli dan disaksikan Pendaftar Bahagian Perkahwinan & Pembangunan Keluarga Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Abdul Jamel Jaafar.

Pada majlis itu, Eyra menerima mas kahwin RM3,001 berserta sembilan dulang hantaran daripada pihak lelaki. Sementara pihak perempuan menyerahkan 11 dulang dan jumlah wang hantaran pula dirahsiakan.

Menyarung busana yang dijahit ibu tercinta, Qhuzie Johari pada majlis pernikahan lalu, Eyra berkata, dia teruja apabila impiannya itu menjadi kenyataan.

“Saya yang minta ibu sediakan baju pernikahan dan layah di kepala untuk majlis pernikahan. Dia mengambil masa selama seminggu untuk menyiapkannya.

“Bagi saya, pernikahan adalah majlis penting dan ibu sangat memahami cita rasa dan tahu mengenai pemakaian saya. Tak sangka ibu merealisasikannya,” katanya.

Menyentuh mengenai perancangan selepas bergelar isteri, Eyra berkata, dia akan berpindah ke Johor Bahru bersama suaminya.

Kata Eyra, disebabkan jadual latihan suaminya yang padat, dia perlu mengalah dan memahami situasi terbabit.

“Saya pernah bercakap dengan Haziq, dia tidak mungkin faham cara dan masa kerja saya. Tidak sangka, rutin hariannya jauh lebih sibuk berbanding saya.

“Pernah sekali, dia baru sampai di Kuala Lumpur, tetapi terpaksa balik semula ke Johor Bahru kerana ada urusan yang perlu diselesaikan.

“Pada awalnya, saya tidak boleh menerima cara kerja Haziq dan kami kerap bergaduh. Apabila lama berkawan, saya sudah mula faham tuntutan kerjayanya. Persefahaman penting dalam melayari kehidupan berumah tangga.

“Saya tiada masalah asalkan dia sentiasa ada di sisi. Saya harap, perkahwinan kami kekal hingga akhir hayat. Saya sentiasa berdoa kepada Allah, moga dia menjadi suami saya hingga ke syurga,” katanya.

Melayari bahtera perkahwinan di usia muda, Haziq nekad memperisterikan Eyra kerana percaya wanita ini mampu menjaga dan memberikan kasih sayang dengan baik.

“Tiada istilah muda atau tua untuk menamatkan zaman bujang ini. Bagi saya, jodoh akan tiba apabila sampai waktunya. Eyra ialah jodoh saya dan ikatan kami lebih kuat selepas menempuh pelbagai dugaan.

“Eyra sangat ‘sempoi’ dan bersederhana. Pernah sekali saya menghubunginya menerusi panggilan video, boleh pula dia berbaring di bawah meja di set penggambaran. Kesederhanaannya itu membuatkan saya jatuh hati,” katanya.

Tidak melarang Eyra untuk meneruskan kerjayanya sebagai pelakon, bagaimanapun Haziq berkata, ada garis panduan yang perlu diikut kerana statusnya yang kini sudah bergelar isteri orang.

“Setiap tawaran yang datang dia perlu berbincang dengan saya dulu. Tidak ada masalah untuk dia berlakon kerana itu minatnya sejak dulu lagi. Asalkan dia pandai menjaga diri, cukuplah,” katanya.

Terdahulu berlangsung majlis resepsi pasangan itu di Glam Hall, Mercu Mustapha Kamal, Damansara Perdana, Sabtu lalu.

Disiarkan pada: November 6, 2019 @ 5:30am
d