rap

Artikel ganggu persiapan kahwin - Nadia Brian

Oleh Syafil Syazwan Jefri

PELAKON, Nadia Brian, 28, hari ini membuat laporan polis terhadap blog hiburan, Rotikaya yang menerbitkan satu artikel bertujuan memburukkan namanya.

Nadia ketika ditemui di Balai Polis Sri Hartamas, Kuala Lumpur berkata, artikel yang diterbitkan pada 29 Oktober lalu itu memberi kesan buruk kepada kredibilitinya sebagai pelakon dan usahawan.

"Pada 29 Oktober, saya dihubungi oleh kenalan dan dimaklumkan mengenai satu artikel yang diterbitkan oleh blog itu dengan tajuk 'Simpan Sikit Maruah Untuk ke Liang Lahad'.

"Kandungan artikel itu menjatuhkan imej saya apabila mereka memuat naik foto ketika majlis 'bridal shower' tanpa keizinan diikuti dengan beberapa tangkapan skrin komen negatif mengenai diri saya dan tunang oleh pengguna warganet," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, ini bukan kali pertama blog hiburan itu melakukan hal terbabit.

"Ini kali kedua. Kali pertama mereka melakukan hal sama adalah pada Ogos lalu. Namun, saya tak mengendahkannya. Jadi, bila kali kedua mereka melakukan hal sama, saya ambil tindakan kerana ia sudah keterlaluan," katanya.

Katanya, artikel itu bukan saja memberi kesan kepada dirinya, tetapi juga keluarganya dan keluarga bakal mentuanya.

"Saya ada keluarga, tunang dan keluarga bakal mentua. Sedikit sebanyak, mereka juga turut terkena tempias.

"Ini sedikit sebanyak mengganggu persiapan untuk majlis perkahwinan saya yang akan berlangsung Sabtu ini," katanya.

Peguamnya, Muhamad Nur Aizat Noor Azam berkata, pihaknya akan menghantar notis tuntutan kepada blog itu dan memberikan tempoh selama tujuh hari untuk memberikan jawapan.

"Kami akan menghantar notis tuntutan esok dan memberi masa selama tujuh hari untuk mendapatkan maklum balas daripada mereka.

"Selepas itu, barulah kami akan berbincang semula untuk mengambil tindakan selanjutnya sekiranya mereka memberi maklum balas atau pun tidak," katanya.

Sehingga 5 November, artikel yang ditulis di Rotikaya itu dikongsi di Facebook sebanyak 41 kali, mendapat reaksi sebanyak lebih 2,900 serta hampir 500 komen.

Disiarkan pada: November 6, 2019 @ 7:52pm
d