rap

Pelakon berusia ada tarikh luput

Oleh Norhayati Nordin

PELAKON, Nor Albaniah, 50, menyifatkan nasib pelakon berusia sepertinya di negara ini mempunyai tarikh luput.

Katanya, tarikh luput dimaksudkan apabila mendapati segelintir pelakon yang melewati usia 30-an, sudah mula dipinggirkan dengan watak selain diberi peranan sebagai ibu bapa.

"Sebenarnya, saya faham permintaan peminat dan penonton masa kini semestinya tertumpu pada kelompok pelakon muda yang memiliki ramai pengikut di media sosial.

"Namun, janganlah terus melupakan atau meminggirkan bakat pelakon dewasa yang berusia dengan meletakkan had umur tertentu.

"Boleh jika nak meletakkan had umur itu, tetapi tidak perlu tergesa-gesa kerana dalam lakonan pengalaman pelakon juga penting," katanya.

Nor Albaniah berkata, menjadi harapannya semoga pelakon lama yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam industri terus dihargai.

"Saya harap sangat sama ada peminat, penerbit mahu pun pihak stesen televisyen, hargailah orang lama yang memiliki pengalaman lebih 20 tahun ini.

"Sebabnya, yakinlah bahawa kelompok seperti kami masih mampu menaikkan industri kerana kualiti dan bukan mengejar popular," katanya.

Pemilik nama sebenar Nor Albaniah Raffie itu berkata, dia faham pelakon berusia sepertinya di luar negara masih layak melakonkan watak utama.

"Namun, di negara ini kebanyakan pelakon berusia 40-an memang kena sedia untuk melakonkan watak mak dan ayah sahaja.

"Paling tidak pun dipinggirkan. Keadaan ini memang berlaku dan saya tengok apa yang berlaku kepada beberapa rakan seusia.

"Bila ditanya, kenapa tak berlakon dah beberapa bulan? Jawapan selalu diberi mereka, tak ada tawaran untuk watak mak," katanya.

Katanya, situasi sebegitu didapati berlaku apabila terdapat segelintir penulis skrip yang lebih gemar menulis watak untuk orang muda.

"Mereka (penulis skrip) kurang beri perhatian untuk watak yang akan dilakonkan golongan pelakon sudah berusia 40 ke 50 tahun.

"Ke mana hala tuju industri, apabila pelakon berusia dipinggirkan dengan mudah jika sepatutnya mereka yang berpengalaman itu harus dikekalkan.

"Bukannya dibuang atau dipinggirkan," katanya mengakui permintaan industri masa kini bergantung pada pengaruh media sosial seperti jumlah pengikut Instagram (IG).

Nor Albaniah yang menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal selama 23 tahun pernah mendirikan rumah tangga bersama Sudarman Daud pada 1993.

Namun, suaminya meninggal dunia dalam kemalangan pada 1996 yang turut mengakibatkan Nor Albaniah mengalami kecederaan dalam tragedi itu.

Hasil perkongsian hidup bersama Sudarman, Nor Albaniah yang dikenali menerusi filem Adik pada 1990 dan Jeritan Batinku (1994) itu dianugerahkan seorang anak perempuan dikenali Syarra, kini berusia 24 tahun.

Disiarkan pada: November 7, 2019 @ 6:29pm
d