rap

Atoi terkilan tak sempat jamah ikan patin Kamal

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

PELAKON dan pengacara, Mohd Syaiful Bahri Tohet, 30, atau Atoi Tohet terkilan kerana tidak sempat menjamah masakan ikan patin yang diusahakan rakan baiknya, Allahyarham Mohd Kamal Shah Saharuddin, 30, atau Kamal Sumbu yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya pada 12 Oktober lalu.

Atoi berkata, dia berhasrat membeli ikan patin yang diusahakan pelawak itu baru-baru ini namun dikejutkan dengan berita sedih apabila rakannya terbabit kemalangan.

"Saya sangat terkesan dengan pemergian arwah kerana dia sahabat terbaik pernah dimiliki. Sebelum ini, kami berkongsi suka dan duka kerana masing-masing menuntut di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Perdana pada 2007," katanya.

Graduan Diploma Seni Lakon dan Teater itu berkata, kebelakangan ini mereka jarang bertemu memandangkan masing-masing sibuk menguruskan karier dan keluarga.

"Kami bagaimanapun masih berhubung melalui aplikasi WhatsApp dengan berkongsi kehidupan peribadi, keluarga dan minat terhadap pasukan bola sepak Selangor," katanya pada sesi fotografi bersama Harian Metro, hari ini.

Tiga minggu sebelum meninggal dunia, Kamal ada mengirimkan pesanan suara dalam keadaan beremosi menyebabkan Atoi bergenang air mata memikirkan saat itu.

"Ketika itu, arwah beritahu saya adalah kawan terbaiknya di dunia dan akhirat. Dia pesan jaga diri baik-baik, seolah-olah dia akan pergi meninggalkan kami," katanya.

Bercerita lanjut katanya, mereka juga mengatur temu janji dengan arwah mahu membelanja makan masakan laut.

"Sahabat baik saya sudah tiada, hanya kiriman doa dapat dikirimkan, moga-moga dia dimasukkan dalam kalangan ahli syurga," katanya sebak.

Menurut Atoi, mereka rapat bukan saja disebabkan menuntut bersama tetapi juga berketurunan Melayu Jawa. Atoi berasal dari Tanjung Karang, manakala Kamal berasal dari Sepang.

Dalam perkembangan seni, Atoi menzahirkan penghargaan terhadap Datuk Ahmad Tarmimi Seriger yang memberinya peluang membintangi telefilem raya, Alahai Cucu Atok pada 2013.

Penyampai radio Rakita FM itu berkata, dia setakat ini sudah membintangi 10 drama dan telefilem dengan terbaharu menamatkan penggambaran drama Biar Jadi Kaktus.

Portal berita akhbar ini pada 12 Oktober lalu melaporkan anggota kumpulan lawak Chilok, Kamal Sumbu meninggal dunia di Hospital Putrajaya selepas dua hari terbabit kemalangan di Sepang.

Kejadian jam 2 petang itu berlaku selepas arwah menghantar pesanan ikan patin kepada pelanggannya di kawasan berkenaan.

Disiarkan pada: November 8, 2019 @ 6:10pm
d