rap

Idam karakter lasak

Oleh Georgie Joseph

PESONA pelakon dan penyanyi Korea Selatan, Cha Eun Woo sungguh luar biasa. Bukan saja berbakat bahkan ketampanannya sering menjadi bualan ramai.

Mutakhir ini jejaka berusia 22 tahun itu kian bersinar sebagai pelakon. Dia berjaya membuktikan kemampuannya menjiwai setiap watak yang diberi dengan baik sehingga mendapat pujian banyak pihak.

Bagaimanapun, anggota kumpulan Astro itu enggan terbuai dengan pujian kerana berasakan persembahannya belum sempurna.

“Saya masih hijau dalam bidang lakonan. Langkah saya baru bermula dan masih jauh untuk capai tahap yang layak dilabelkan bagus,” katanya.

Terkenal dengan drama Rookie Historian Goo Hae-ryung dan Gangnam Beauty, Cha Eun Woo dilihat antara pelapis aktor handalan negara kelahirannya.

Sepertimana bintang baharu lain, Cha Eun Woo berharap diberi lebih banyak peluang dan ruang untuk memperbaiki diri. Dia juga menaruh harapan untuk mencuba pelbagai watak pada masa hadapan.

“Saya sangat tertarik dengan drama atau filem yang memaparkan aksi lasak. Kalau boleh, saya teringin menjayakan watak yang menguji kekuatan fizikal saya.

“Begitu juga dengan watak pelajar. Sesuai dengan usia, saya yakin dapat bawa watak sebegini dengan baik,” katanya.

Cha Eun Woo hadir buat kali pertama secara solo bagi menjayakan sesi bertemu peminat di Kuala Lumpur, baru-baru ini menerusi acara Cha Eun Woo 1st Fan Meeting Tour [JUST ONE 10 MINUTE] in Kuala Lumpur.

Lebih 1,900 peminat tidak melepaskan peluang untuk melihat artis kesayangan mereka itu secara dekat. Sepanjang acara, peminat nyata teruja malah ada antara mereka menjerit kegembiraan.

Cha Eun Woo mengakui peluang itu sangat berharga buat dirinya dan melakukan persediaan secara rapi bertemu peminat di Malaysia.

“Ramai tahu jadual kerja saya sangat padat. Begitu juga dengan pelbagai penggambaran tetapi saya tetap mencuri masa untuk bertemu kalian di sini.

“Memandangkan ini acara bertemu peminat yang pertama, saya mahu kalian gembira serta menikmati saat manis ini bersama,” katanya.

Paling mencuri perhatian ketika Cha Eun Woo mendendangkan lagu Sampai Ke Hari Tua nyanyian asal Aizat Amdan. Majoriti peminat menzahirkan rasa kagum apabila dia mampu menguasai lirik bahasa Melayu dengan baik.

“Saya sediakan lagu ini khas untuk Aroha yang berada di Kuala Lumpur,” katanya, merujuk kepada nama kelab peminat Astro.

Selain menyanyi dan bermain permainan yang disediakan, Cha Eun Woo menyampaikan beberapa cenderahati kepada peminat bertuah. Berlangsung selama dua jam, peminat nyata terhibur dengan gelagat Cha Eun Woo.

Disiarkan pada: November 10, 2019 @ 6:01am
d