rap

Sebelas hari tayangan, Pusaka raih RM7.2 juta

Oleh Najiy Jefri

FILEM Pusaka berjaya meraih kutipan RM7.2 juta dalam tempoh 11 hari tayangan di Malaysia, Singapura dan Brunei.

Menurut Naib Presiden, Ketua Astro Shaw dan Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad, pihaknya teruja dengan pencapaian filem penyiasatan seram itu.

"Kami amat gembira dengan sambutan yang diberikan penonton di pawagam.

“Pusaka adalah satu idea yang segar untuk filem seram tempatan dan ia ditulis penulis rasmi Astro Shaw. Kolaborasi antara Director Think Tank dan Razaisyam Rashid sangat berbaloi malah kami terbuka untuk bekerjasama dengan pengkarya filem serta pelakon baru," katanya. Lebih membanggakan, Pusaka turut memintas kutipan hujung minggu filem Maleficent, The Terminator dan sebuah karya baharu antarabangsa, Doctor Sleep.

Bukan itu sahaja, Pusaka turut mendominasi tangga pertama filem pecah panggung Golden Screen Cinemas (GSC) selama lima hari berturut-turut.

Filem terbitan Astro Shaw itu dibintangi Syafiq Kyle, Mimi Lana, Faizal Hussein, Fauziah Ahmad Daud, Hafidz Roshdi, Sweet Qismina, Draman Muhammad, Aloy Paradox dan Yuna Rahim.

Disiarkan pada: November 11, 2019 @ 5:28pm
d