rap

Juara Manhajj Mutawwif tuntut hadiah RM100,000 [METROTV]

Oleh Sudirman Mohd Tahir

KETUA Pegawai Operasi (COO) Manhajj Brothers Sdn Bhd, Mohamad Yusof Mohd Surid mengakui kesilapan pengurusan syarikat apabila gagal melaksanakan janji menyerahkan wang kemenangan RM100,000 kepada juara Program Manhajj Mutawwif musim pertama, Ahmad Syafik Samat, 36, pada 16 Mac lalu.

Mohamad Yusof ketika dihubungi Harian Metro berkata, pihaknya akan cuba menunaikan janji mereka sebelum 31 Disember ini berdasarkan surat kedua yang diserahkan kepada Ahmad Syafik.

"Kali terakhir saya kemas kini surat yang mana, insya-Allah kita akan berikan wang kemenangan yang patut diberi sebelum 31 Disember ini. Pihak saya juga maklum mengenai perintah mahkamah supaya kami membayar wang yang dijanjikan.

"Saya minta jasa baik penerima untuk menunggu lagi. Memang lama dia tunggu. Terlalu banyak masalah dalaman syarikat dan tak perlu saya ceritakan. Insya-Allah, kami cuba lunaskan.

"Memandangkan sekarang saya sudah ambil alih tugas keseluruhan operasi syarikat, jadi saya cuba uruskan semua tanggungjawab, segala beban dan hutang syarikat sebelum ini. Saya berjanji dan memastikan hak Ahmad Syafik diberikan. Saya takkan nafikan," katanya.

Katanya, pihaknya juga bersedia berdepan tindakan undang-undang sekiranya gagal menunaikan janji pada 31 Disember ini.

"Insya-Allah, saya berpegang pada kata. Kalau Allah benarkan saya buat, ia akan terlaksana. Buat masa sekarang saya akan cuba selesaikan perkara ini," katanya.

Terdahulu, Ahmad Syafik atau Mutawwif Ahmad yang hadir ke Balai Berita, di sini, semalam menuntut wang kemenangan daripada penganjur iaitu syarikat Manhajj Brothers Sdn Bhd.

Dia hadir dengan ditemani peguamnya, Mohamad Ashraf Ahmad Sohaimi daripada Fahmi Zhafri Ashraf & Co.

Apa yang menyedihkan Ahmad Syafik yang juga bapa kepada empat anak ini adalah wang kemenangan itu ingin dihadiahkan kepada ibu tercinta, Rusilawathy Yusuf, 57.

"Semua tahu, selepas diumumkan juara saya berjanji nak hadiahkan wang kemenangan ini kepada mak. Duit ini memang untuk dia dan itu janji saya. Tapi, sampai hari ini saya masih tak dapat apa yang dijanjikan.

"Sedangkan dua bulan sebelum tarikh saya dijanjikan pembayaran, pemenang tempat kedua, ketiga dan keempat sudah mendapat hadiah masing-masing. Apabila saya minta dan pergi ke pejabat mereka, saya diberikan surat yang menyatakan mereka janji nak bayar pada 16 Mac.

"Surat diserahkan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Manhajj Brothers Sdn Bhd, Abdul Halim Ikhsan. Namun, tunggu punya tunggu sehinggalah selepas 16 Mac, saya ke Johor untuk berjumpa Abdul Halim bersama COO, Mohamad Yusof Mohd Surid dan pelabur. Tapi, hasilnya gagal," katanya kepada Harian Metro.

Katanya, dia berasa sedih apabila seperti dipermainkan meskipun pihak mahkamah sudah memerintahkan syarikat terbabit membayar wang kemenangan itu.

"Sedih dipermainkan. Orang lain dapat saya tak. Malah, saya siap bantu mempromosikan Manhajj Brothers di media sosial termasuklah menghadiri program anjuran mereka.

"Disebabkan itu saya buat keputusan untuk mendapatkan khidmat guaman pada Jun lalu. Malah, sebelum ini lagi ramai yang mencadangkan perkara sama, tapi saya tak nak lagi.

"Bukan apa, saya fikir ini program Islamik dan syarikat terbabit juga menganjurkan program Islamik malah orang dalam syarikat ini bukan calang orang. Saya menjadi serba salah sebab semuanya orang Islam.

"Tapi, selepas solat hajat dan mengenangkan ini janji saya pada mak, saya perlu bertindak," katanya.

Menurutnya, dia juga sudah beberapa kali berjumpa pihak berkenaan termasuklah menghantar mesej dan menghubungi namun jawapan diberikan masih sama.

"Selepas 16 Mac, saya masih lagi bertanya khabar. Jawapan daripada COO, minta saya menunggu lagi kerana pihak mereka masih mengumpul duit. Malah, saya juga sudah tiga kali ke Johor Bahru.

"Saya cuba mesej dan menghubungi CEO, tapi tidak berbalas langsung. Tapi, selepas peguam saya menghantar surat, barulah COO menghantar satu lagi surat untuk menangguhkan pembayaran sehingga 31 Disember ini.

"Itu pun dihantar menerusi aplikasi WhatsApp dan bukannya kepada peguam saya jika benar mereka bersikap profesional," katanya.

Disiarkan pada: November 14, 2019 @ 5:41pm
d