rap

Josiah Hogan kumpul duit jejak keluarga di Mexico

Oleh Ramlah Zainal

PELAKON terkenal, Josiah Hogan mengakui dia merancang untuk menjejaki ahli keluarga sebelah bapanya di Mexico pada tahun depan.

Menurut pelakon filem KL Vampires itu, dia kini bekerja keras untuk mengumpul wang sekali gus membuat persiapan terperinci untuk ke sana.

“Bukan saja membabitkan soal wang, saya juga perlu menguasai bahasa Mexico untuk memudahkan komunikasi dengan ahli keluarga di sana.

“Mereka bukan beragama Islam dan cara hidup juga berbeza,” katanya kepada Harian Metro.

Josiah berkata, dia juga hanya berusia setahun bila kedua ibu dan bapa kandungnya bercerai dan terus membawanya menetap di Malaysia.

“Terus-terang, saya sangat teruja untuk bertemu ahli keluarga yang sudah 33 tahun tidak bertemu,” katanya.

Mengulas soal kewangan pula, kata pelakon berdarah kacukan Amerika Latin itu, dia juga mengalu-alukan jika ada pihak yang sudi menaja pemergiannya ke Mexico itu.

“Jika ada pihak yang sudi membantu atau menaja tiket penerbangan dan perbelanjaan untuk saya menjejaki ahli keluarga sebelah bapa itu, pastinya saya menerima dengan tangan terbuka.

“Saya berharap perancangan untuk menjejaki ahli keluarga di Mexico ini dapat direalisasikan dengan segera,” katanya.

Josiah berkata, ahli keluarga sebelah bapanya yang juga tiga ibu saudaranya sudah mencecah usia lebih 70 tahun.

“Saya ada tiga lagi ibu saudara yang masih hidup kerana dua sudah meninggal dunia.

“Saya juga berasa bimbang jika tidak sempat untuk menjejaki mereka kerana sumber kewangan masih belum mencukupi.

“Jika ke sana pastinya lebih dari tempoh seminggu,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, dia juga merancang untuk ke Mexico sendirian terlebih dulu.

“Mungkin saya akan ke Mexico sendirian dulu ke sana kerana kos makin tinggi jika membawa isteri dan tiga anak sekali gus.

“Isteri tidak menghalang hasrat saya untuk menjejaki ahli keluarga di sana kerana dia kini mengandung anak keempat,” katanya.

Bagaimanapun kata Josiah, dia juga dapat mengubat rindu dengan ahli keluarga di Mexico menerusi media sosial.

“Saya berasa rindu yang teramat sangat dan tidak sabar untuk bertemu mereka di sana,” katanya.

Disiarkan pada: November 14, 2019 @ 6:22pm
d