rap

Platform martabat industri kreatif

Oleh Georgie Joseph

PERTANDINGAN filem pendek paling berprestij di Malaysia, BMW Shorties yang memasuki tahun ke-13 penganjuran pada tahun ini adalah platform terbaik dalam memartabatkan industri kreatif tempatan.

Impak daripada pertandingan itu, ramai tulang belakang produksi filem pendek kembali yakin hasil karya mereka berbaloi untuk diketengahkan. Apatah lagi reputasi pertandingan itu diperakui banyak pihak.

Buat pertama kalinya, BMW Malaysia bekerjasama dengan Urbanscapes menerusi acara Urbanscapes 2019: Tayangan BMW Shorties bermula esok hingga 24 November.

Acara yang berlangsung di REXKL, Kuala Lumpur itu diadakan bagi meraikan industri kreatif filem tempatan selain menggilap lebih ramai bakat baru.

Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan BMW, Sashi Ambi berkata, BMW Shorties terbukti menjadi platform penting dalam mencapai misi memartabatkan pengkarya tempatan.

“Sepanjang 13 kali penganjurannya, tahun ini kami mendapat penyertaan terbanyak setakat ini iaitu lebih 100. Tahun sebelumnya, purata kira-kira 80 penyertaan sahaja.

“Kami percaya komuniti industri kreatif filem pendek semakin percaya dengan platform ini. Mungkin kerana kami sentiasa buka ruang untuk mereka mengetengahkan karya ke peringkat antarabangsa seperti Filem Festival Berlin, Jerman,” katanya.

Menariknya, acara itu turut membabitkan penayangan filem pendek sekitar Asia Tenggara termasuk Filipina, Malaysia, Kemboja, dan Singapura.

Menurut Ketua Program Tayangan BMW Shorties, Nadira Ilana, acara itu bukan sahaja bertujuan untuk tayangan filem pendek semata-mata kerana banyak aktiviti menarik lain turut diadakan.

“Semestinya, acara kemuncak nanti adalah pengumuman pemenang BMW Shorties. Bagaimanapun, kami melihat acara ini lebih daripada itu, apalagi tayangan BMW Shorties akan menayangkan filem dari Malaysia dan sekitar Asia Tenggara.

“Saya menggunakan segala jaringan yang ada untuk menjemput mereka ke sini. Bagi saya, kerjasama ini sangat penting terutama untuk mendedahkan peminat seni kita kepada karya luar juga,” katanya.

Nadira yang turut mengadili penyertaan BMW Shorties tahun ini mengakui kagum dengan bakat pembikin filem pendek tempatan. Dia menyifatkan penyertaan kali ini tampilkan kepelbagaian daripada pelbagai sudut.

“Berdasarkan penilaian saya, karya yang dihantar tahun ini cukup menarik kerana masing-masing ada kekuatan tersendiri. Tidak kiralah penyertaan daripada pengkarya amatur hinggalah profesional.

“Bagi kami, paling penting adalah mesej dan impak karya itu sendiri sama ada sampai atau tidak. Ada dalam kalangan peserta amatur memiliki idea sangat bagus manakala yang berpengalaman pula hebat aspek teknikal,” katanya.

Kemuncak Malam Anugerah BMW Shorties akan berlangsung pada 23 November ini bermula jam 7 malam di REXKL. Pada sebelah siang iaitu jam 2 hingga 6 petang, tayangan untuk 10 finalis akhir juga diadakan.

Selain itu, sebanyak lima bengkel berkaitan industri filem akan turut diadakan pada Urbanscapes 2019: Tayangan BMW Shorties. Antaranya bengkel Penghasilan Filem Aksi Blockbuster: WIRA oleh pengarah tersohor Adrian Teh.

Antara filem luar negara yang bakal ditayangkan termasuklah A Million Years, Golden Slumbers dan Last Night I Saw You dari Kemboja, Pan De Sawal (Filipina) dan Cut (Singapura).

Disiarkan pada: November 15, 2019 @ 5:15am
d