rap

Drama lagu terbaik minggu pertama

Oleh Najiy Jefri

MINGGU pertama Separuh Akhir Muzik-Muzik 34 (MM34) menyaksikan lagu ciptaan Aepul Roza, Daus SRK, Faeez Ikhwan, Syed Syahmir dan Nik Adi berjudul Drama dendangan Drama Band dinobatkan sebagai lagu terbaik.

Lagu itu berjaya menawan hati barisan juri yang diketuai Azmeer sekali gus memberikan saingan sengit kepada 10 lagi lagu bertanding.

Vokalisnya, Aepul berkata, dia terkejut apabila lagu ciptaannya serta rakan kumpulan itu dinobatkan sebagai lagu terbaik.

“Kami masih terkejut dan bersyukur dengan keputusan ini. Kejayaan ini adalah satu anugerah terindah buat lagu Drama.

“Tidak dinafikan rata-rata lagu yang tercalon pada minggu pertama separuh akhir MM34 semuanya hebat dan mempunyai kualiti tersendiri.

“Kami sekadar nak berhibur saja malam ini dan tidak meletakkan sebarang harapan tinggi untuk meraih lagu terbaik,” katanya.

Menurutnya, rata-rata daripada mereka meletakkan sasaran lagu Satukan Rasa ciptaan Dinda Kanda dan lirik Iman Imran sebagai pemenang lagu terbaik.

“Kami menjangkakan lagu Satukan Rasa sebagai lagu terbaik untuk pusingan pertama ini.

“Kami rasa lagu nyanyian Siti Nordiana dan Khai Bahar mempunyai lirik serta melodi yang kuat,” katanya.

Pertandingan minggu pertama yang berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam itu turut menyaksikan saingan lagu Paku nyanyian Ara Johari, Mencuba (Sufian Suhaimi) dan 123 dendangan Khai Bahar.

Tidak ketinggalan lagu Satukan Rasa (Khai Bahar & Siti Nordiana), Terlalu Memuja (Sufian Suhaimi), Hatiku Milikmu (Siti Nordiana), Bidadari (Ismail Izzani), Aku Yang Bersalah (Usop), Kepuraanmu (Luqman Faiz) dan Tiada Dirimu (Shila Amzah).

Disiarkan pada: November 16, 2019 @ 12:51am
d