rap

Janji memori indah

Oleh Ardini Sophia Sina

MUNGKIN tidak ramai generasi muda di Malaysia mengenali pemuzik Al McKay bekas anggota kumpulan Earth, Wind & Fire.

Namun, seniman berusia 71 tahun itu mempunyai kelompok peminat tersendiri.

Menubuhkan kumpulan The Al McKay Allstars, mereka bakal tampil membuat persembahan pada malam menjelang sambutan Krismas di Arena of Stars, Genting Highland pada 24 Disember hadapan.

Membawakan lagu-lagu yang pernah dipopularkan oleh Earth, Wind & Fire, McKay menjanjikan memori indah buat penonton yang hadir pada malam itu.

Walaupun sudah lama terbabit dengan industri seni kata McKay, dia masih gemuruh berdiri di hadapan orang ramai dan teruja setiap kali membuat persembahan.

“Saya suka menghiburkan penonton dengan muzik.

“Setiap kali mengadakan persembahan, saya tidak tahu kenapa masih ada rasa gemuruh ketika beraksi di pentas.

“Mungkin kerana bimbang tidak dapat memberikan yang terbaik.

“Apa pun, saya sangat gembira kerana dapat memenuhi permintaan bertemu peminat di Malaysia.

“Saya harap, kami dapat menjadikan malam itu antara kenangan manis bersama,” katanya.

Sibuk dengan konsert jelajah di beberapa negara termasuk Jerman dan Republik Czech, McKay kagum melihat penonton yang turut sama menyanyikan lagu-lagu yang didendangkan.

Walaupun ada perbezaan bahasa, bagi Mckay itu bukan satu halangan.

Dia percaya muzik adalah bahasa sejagat yang mampu memadamkan sempadan bahasa ibunda.

“Saya sering mengadakan persembahan di negara asing yang bertutur menggunakan bahasa berbeza dengan saya.

“Namun, apabila menikmati muzik, mereka semua bersatu seolah-olah berasal dari kawasan sama.

“Saya berasa kagum setiap kali melihat kesatuan itu. Saya teruja melihat mereka sama-sama menyanyikan lagu yang kami sampaikan.

“Ia secara tidak langsung menjadikan saya lebih bersemangat,” katanya.

Sering mendendangkan lagu-lagu hits daripada kumpulan Earth, Wind & Fire, Mckay sama sekali tidak kisah andai The Al McKay Allstars dilabel sebagai tribut kepada band lamanya.

Bagi McKay yang juga penulis dan produser lagu, tujuannya hanya satu iaitu menghiburkan penggemar muzik serta memberikan warna serta rasa berbeza kepada industri muzik masa kini.

“Biarlah mereka kata apa saja kerana apa yang saya lakukan ini adalah demi cinta terhadap muzik.

“Lagu kumpulan saya sehingga kini masih ada yang minat, tidak salah rasanya menyanyikan semula untuk menghiburkan mereka,” katanya.

Disiarkan pada: November 17, 2019 @ 5:01am
d