rap

Kasihan Nabil selalu kena bidas

Oleh Cik Pang

SEJAK popular, apa saja dilakukan oleh pelawak dan pengacara Nabil Ahmad pasti menjadi pertikaian warganet. Meskipun banyak kali memohon maaf, ia terus diperkatakan. Pendek kata, pantang silap, habislah Nabil.

Kadangkala Cik Pang rasa kasihan juga pada Nabil. Bukanlah hendak membela dirinya kerana jika perkara itu salah, dia perlulah memohon maaf dan tidak mengulanginya lagi.

Namun, sebagai manusia, kita tidak lari daripada melakukan kesilapan dan Cik Pang tahu Nabil juga sedia maklum tugasnya setiap kali mengacara. Sebagai pengacara juga, dia akan sentiasa berlatih bagi memastikan semuanya berjalan lancar.

Apabila teman Cik Pang memaklumkan banyak komen warganet yang membanding-bandingkan Nabil dengan Alif Satar sehingga mengeluarkan kata-kata tidak sepatutnya, itu memang tidak patut.

Cik Pang tahu bukan semua pengacara suka apabila diri mereka dibandingkan dengan orang lain, rasanya semua orang pun begitu.

Dalam kehidupan seharian pun kita pasti rimas jika dikaitkan atau dibandingkan dengan orang lain, apatah lagi dalam keadaan Nabil.

Bagi Cik Pang, Nabil dan Alif dua pengacara yang mempunyai personaliti berbeza, begitu juga penyampaian mereka.

Mungkin disebabkan Nabil pelawak, maka orangnya suka bergurau dan terbawa-bawa ketika mengacara. Berbeza dengan Alif yang memulakan bidang seni sebagai penyanyi dan kemudian melebarkan sayap sebagai pelakon dan pengacara.

Melihat pada latar belakang awal mereka juga kita sudah tahu personaliti dan pembawaan mereka berbeza. Apa yang Cik Pang mahu tekankan di sini, janganlah terus menghukum sebaliknya berilah peluang dan berikan kata-kata yang baik dan membina kepada Nabil.

Sekurang-kurangnya dia berusaha untuk menghiburkan penonton dan pekerjaan itu bukanlah perkara yang mudah untuk memastikan orang terhibur dengan apa yang dipersembahkan. Cuba kalau kita yang berada di tempat Nabil, silap-silap terus kaku tidak tahu hendak kata apa.

Disiarkan pada: November 17, 2019 @ 5:20am
d