rap

Ada pengurus 'berlebih-lebih'

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

KEBANYAKAN pengurus artis pada masa ini dilihat bersifat lebih 'sudu daripada kuah' apabila mereka terlalu mengawal artissupaya tidak memberikan penjelasan berhubung kontroversi yang tersebar di laman sosial.

Berbeza era 1980-an hingga pertengahan 2000, mana-mana artis ketika itu bersikap lebih profesional malah tidak gentar memberikan keterangan jika kontroversi berlaku ke atas mereka.

Bagi artis baharu dan pengurus di era millenium, mereka tidak mahu kontoversi diketahui ramai sedangkan sesuatu isu yang diperkatakan sudahpun tersebar di Facebook dan Instragram.

Apa yang mereka mahukan hanyalah promosi berkaitan aktiviti seni semata-mata atau meluahkan keluhan apabila tiada tawaran pekerjaan.

Dapat dilihat, pengurus baharu ketika ini 'berlebih-lebihan' dengan tidak membenarkan artis menjelaskan kontoversi kononnya mereka tidak pernah melakukan kesalahan, tatkala kontoversi itu dicipta mereka sendiri.

Apabila dihubungi, mereka enggan mengulas lanjut dan lebih kejam, perkataan enggan mengulas lanjut tidak boleh tertera pada tulisan.

Pengurus Datuk Siti Nurhaliza iaitu Rozi Abdul Razak, 45, berkata, jika kontroversi terjadi artis atau pengurus tidak perlu menyembunyikannya.

Katanya, masalah itu terjadi berikutan artis tidak dinasihati oleh orang yang betul manakala pengurus tidak memahami mereka orang kanan selebriti.

"Jika kontroversi tidak datang daripada artis tetapi orang lain, pengurus perlu bijak menanganinya. Jangan sesekali mencipta kontoversi sendiri dengan memasukkan di laman sosial dan apabila diburu pihak media mereka melarikan diri," katanya yang berpengalaman 21 tahun menjadi pengurus Siti.

Menurutnya lagi, sebelum bergelar anak seni, artis dan pengurus perlu memiliki mental yang kuat dan menyedari mereka menjadi tumpuan ramai.

"Untuk pengurus artis baharu, jangan mengongkong pergerakan selebriti dan sebelum menggalas tugas bertanyalah orang berpengalaman," katanya.

Kata Rozie lagi, segelintir artis dan pengurus baharu tidak memahami bahawa sesuatu kontroversi kadangkala menaikkan populariti mereka.

"Bagi saya tindakan pengurus artis berlebih-lebihan dan menghalang artis menjawab kontroversi adalah tidak patut," katanya.

Pengurus Siti Nordiana iaitu Al Anas Osman, 35 menasihatkan artis dan pengurus baharu supaya tidak menjadi anak seni jika takut berdepan kontroversi.

"Kalau takut jawab kontoversi atau enggan mengulas lanjut, bekerja sahaja di pejabat. Mereka lupa kontoversi itu termasuk langkah promosi dan pemasaran," katanya yang berpengalaman 10 tahun menguruskan Siti Nordiana termasuk ketika zaman kejatuhannya.

Kata Anas lagi, artis baharu juga tidak perlu mencipta kontroversi sendiri yang boleh menjatuhkan maruah dan mengaibkan.

"Sebagai anak seni, beranilah tanggung risiko jika menceburkan diri dalam industri hiburan. Kalau tidak mahu diaibkan oleh kontroversi, jangan lakukannya," katanya.

Anas turut menasihatkan artis baharu tidak sombong kerana ia akan merugikan diri sendiri selain mencerminkan keperibadian mereka.

"Artis baharu dan pengurus beruntung kerana dimudahkan dengan kewujudan media sosia, tetapi jangan bersikap sombong. Berbeza artis dahulu, mereka berdepan kesusahan dan sebab itulah mereka menghargai orang lain," katanya.

Sementara itu pengurus Najwa Latif iaitu Azahari Jaafar, 38 berkata, tindakan mencipta kontroversi sendiri dan melarikan diri adalah perbuatan tidak bijak dan bertanggungjawab.

"Artis baharu sangat memerlukan pengurus yang berpengalaman untuk memberikan nasihat. Bagi saya, kawalan ke atas artis itu perlu tetapi biarlah yang menjadi contoh masyarakat," katanya.

Katanya lagi, artis baharu juga perlu mengendalikan media sosial dengan bijak dan biarlah bertahan kerana bakat bukan kontroversi.

"Jika kontroversi terjadi, berdepanlah, akui kesilapan dan memohon maaf.

Disitu peranan pengurus sangat penting untuk mengawal persepsi orang awam," katanya.

Disiarkan pada: November 17, 2019 @ 3:55pm
d