rap

Gabungan bapa, anak

Oleh Syafil Syazwan Jefri

KE mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Itulah perumpamaan sesuai menggambarkan gabungan Datuk Hattan dengan anaknya yang juga pendatang baharu dalam industri muzik, Adam E.

Adam E atau nama sebenarnya Adam Eiman kini hadir dengan single berjudul Perlukan Aku yang juga hasil ciptaannya bersama seorang lagi penyanyi hip hop, Senna dan liriknya karya Adam sendiri.

Secara ringkasnya, Perlukan Aku mengisahkan mengenai seorang lelaki yang sedang mencari cinta dan tahu wanita yang dicintainya itu memerlukannya sebagai peneman hidup.

Menerusi lirik lagu ini, watak lelaki itu memberitahu wanita terbabit mengenai kemampuannya dan bagaimana dia benar-benar ingin menjadikan wanita berkenaan permaisuri hidupnya.

Tidak hanya bercerita mengenai kisah cinta anak muda, Perlukan Aku juga menyelitkan sedikit mesej positif untuk berpijak di bumi nyata.

Dari segi melodi, ia adalah lagu hip hop R&B yang bukan setiap hari kita dengar di stesen radio.

Penyampaian ala ‘trap’ juga membuatkan lagu ini tidak puas sekiranya hanya didengar sekali dan tentunya akan membuatkan pendengar mendengarnya berulang kali.

Bahagian nyanyian Hattan juga tidak menutup kemampuan Adam dalam ‘melampiaskan’ kemampuan nyanyian yang nyata berbeza berbanding cara nyanyian bapanya.

Video muziknya juga tidak terlalu banyak yang boleh diperkatakan dan dihasilkan agak ringkas, namun padat dan mencukupi.

Sejak dimuat naik ke YouTube pada 26 September lalu, video muzik Perlukan Aku sudah ditonton lebih 6,000 tontonan. Karya ini sepatutnya berjaya meraih lebih banyak jumlah tontonan dan dihargai ramai peminat muzik.

Disiarkan pada: November 18, 2019 @ 9:00am
d