rap

Haqiem mahu gilap bakat baru

Oleh Rudy Imran Shamsudin

MEMENANGI trofi Komposer Muda Berpotensi Anugerah MACP 2019 membakar semangat Haqiem Rusli, 21, untuk menganjurkan program pencarian bakat muda yang memiliki kelebihan seperti dirinya.

Ditemui selepas memenangi anugerah terbabit malam tadi, pemilik nama sebenar Ridzuan Haqiem Rusli itu berharap program berkenaan dapat merealisasikan impian rakan sebaya untuk bergelar komposer dan penyanyi.

“Saya tahu ramai yang sebaya dengan saya meminati bidang muzik dan mahu menjadikan ia kerjaya. Diharap program yang saya ilhamkan ini dapat membantu mereka.

“Bagaimanapun saya belum putuskan bilakah ia akan dilaksanakan dan berharap ada pihak berminat membantu menjayakannya,” katanya.

Menurut Haqiem, selain menyediakan hadiah, pemenang program itu juga boleh berkolaborasi menghasilkan lagu dengannya.

Pada malam Anugerah MACP 2019 yang turut meraikan ulang tahun 30 penubuhan badan pengutip dan pengurusan royalti buat komposer serta penulis lirik tanah air itu menyaksikan komposer muda dan penyanyi terkenal Hael Husaini bersama rakannya, Ezra Kong diumumkan sebagai pemenang Lagu Melayu Persembahan Terbanyak menerusi Jampi.

Lagu itu menewaskan dua saingan terdekat iaitu Pejamkan Mata ciptaan Maliques yang didendangkan Dayang Nurfaizah serta Yang Ku Cinta (Kristal).

Lagu kategori Pendapatan Luar Negara Tertinggi dimenangi Piao Xiang Bei Fang ciptaan Huang Ming Zhi dan dipopularkan Wang Lee Hom.

Komposer dan penyanyi berpengalaman Datuk M Nasir memenangi anugerah Komposer Dengan Pendapatan Terbanyak sekali gus menyingkirkan pesaing terdekatnya, Edry KRU dan Saari Amri.

Sementara itu, Habsah Hassan dinobatkan sebagai Penulis Lirik Dengan Pendapatan Terbanyak menewaskan Allahyarham Abdul Jalil Salleh (Mama Juwie) dan Allahyarham Rosli Khamis (Loloq).

Habsah Hassan juga menerima anugerah Penghormatan Khas dari MACP.

Disiarkan pada: November 18, 2019 @ 4:08pm
d