rap

Awi bantu anak autisme

Oleh Georgie Joseph

KOMPOSER dan penyanyi Awi Rafael menyediakan program muzik untuk kanak-kanak autisme sebagai terapi dan mencungkil kemahiran golongan itu.

Di bawah akademi miliknya, New Santara, Awi kini memiliki 47 pelajar sejak diperkenalkan empat bulan lalu.

“Awalnya, saya mengajar empat pelajar dan sekarang sudah ada 47 termasuk kanak-kanak autisme. Saya ajar sendiri kanak-kanak ini dengan memanfaatkan ilmu ketika menuntut dalam bidang perundangan serta psikologi dulu.

“Saya turut mengajar anak muda untuk bermain piano dengan cepat selain berkongsi tip mengenai vokal dan menyediakan kelas vokal menerusi Skype,” katanya.

Awi juga bersyukur modul yang diperkenalkan itu menunjukkan hasil positif sehingga mendapat kepercayaan banyak pihak untuk mengembangkannya.

“Ada seorang pelajar saya sudah mahu berbual selepas mengikuti lima sesi terapi percakapan. Dia anak yang normal dan pintar tetapi tidak boleh bercakap dan disebabkan itu dia mudah jadi marah. Namun, apabila mengikuti kelas saya, dia mula menunjukkan perubahan positif.

“Saya ada beberapa pelajar yang sudah mula pandai menyanyi dan buat pemanasan vokal. Ibu bapa mereka yang melihat perkembangan itu menangis.

“Saya kongsi proses pembelajaran ini di Instagram bagi membuktikan muzik antara terapi terbaik dan dapat membantu perkembangan kanak-kanak,” kata Awie yang menjalin usaha sama dengan syarikat yang diperakui prestasinya.

Disiarkan pada: November 18, 2019 @ 4:35pm
d