rap

Liza Hanim nafi caras persembahan Nur Fatima

Oleh Ramlah Zainal

PENYANYI terkenal, Liza Hanim menafikan dakwaan dia sengaja mencaras persembahan Nur Fatima ketika berduet dengannya menerusi lagu Anggapanmu pada konsert minggu keempat program Gegar Vaganza musim keenam (GV6) baru-baru ini.

Menurut Liza, 40, dia juga sudah memberikan persembahan yang terbaik ketika sesi latihan bersama Nur Fatima, 37, sebelum konsert lagi.

“Kalau ada pihak yang mendakwa saya cuba mencaras persembahan Nur Fatima, itu tidak betul.

“Saya memang sentiasa berikan yang terbaik dalam setiap persembahan dijayakan.

“Lagu Anggapanmu itu juga sangat kuat dan perlu dinyanyikan dengan sebaik mungkin,” katanya.

Apapun katanya, sebagai artis jemputan, dia memang sudah berbincang dengan Nur Fatima mengenai persembahan duet terbabit.

“Nur Fatima juga menyanyi di bahagian lagu yang tinggi kerana saya mahu dia menyerlah dan tidak relaks dalam persembahannya,” katanya.

Mengulas persembahan Nur Fatima pula, kata Liza, dia sangat gembira dengan prestasinya pada konsert minggu keempat GV6.

“Persembahan Nur Fatima ada kelainan dan bertenaga selepas saya menonton semula gandingan duet kami pada konsert itu.

“Saya sangat bangga dengan persembahannya dan yakin dia adalah calon finalis pada pentas akhir GV6 nanti,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, dia akur busana yang digayakannya seakan menenggelamkan penampilan Nur Fatima pada malam konsert itu.

“Sebagai penyanyi, kita perlu tampil dengan busana yang menarik dan sesuai dengan persembahan untuk mencuri tumpuan penonton.

“Saya difahamkan ada masalah teknikal membabitkan pihak Nur Fatima dan baju yang dipakainya pada malam konsert itu juga membabitkan perubahan pada saat akhir,” katanya.

Terdahulu, segelintir pihak mendakwa persembahan Liza sangat menonjol ketika berduet dengan Nur Fatima lagu Anggapanmu pada konsert minggu keempat sekali gus persembahan peserta GV6 itu tenggelam.

Bukan saja aspek persembahan, penampilan busana yang digayakan Liza yang juga artis jemputan pada malam konsert juga turut menenggelamkan Nur Fatima yang juga peserta program realiti popular terbabit.

Disiarkan pada: November 20, 2019 @ 3:41pm
d